Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Polemik sambutan Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal sama ada pada Isnin atau Selasa ini (2 atau 3 Mei 2022) masih lagi bermain di fikiran rakyat di negara ini, ketika ini.
Walaupun bulan Ramadan akan melabuhkan tirai sehari dua sahaja lagi, rakyat masih berteka-teki dengan tarikh sebenar lebaran hari pertama Aidilfitri.
Ia susulan dakwaan perayaan 1 Syawal berlaku pada 2 Mei depan, yang memetik sumber daripada Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi, tular di media sosial,sebaliknya bukan 3 Mei 2022 seperti yang tertera di kalendar ketika ini, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga belum memberi keputusan muktamad berhubung perkara itu, sebaliknya menyarankan supaya menunggu pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBBR).
Berbeza pula di Perlis, Muftinya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memberi bayangan sambutan Aidilfitri 1 Syawal di negara ini akan diraikan pada Selasa, berbeza dengan kebanyakan negara Islam lain yang menyambutnya sehari lebih awal.
Mohd Asri berkata, ia berdasarkan kriteria baharu ditetapkan oleh JAKIM bersama Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (Mabims).
“Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan yg digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin hari raya. Demikianlah kebanyakan negara umat Islam.
“Jika pakai kriteria baharu JAKIM / Mabims, mungkin tak nampak. Maka, kita mungkin raya Selasa,” katanya di Twitter hari ini tanpa butiran lanjut.
Berpandukan kriteria baharu Mabims, hilal (melihat anak bulan) ditentukan mengikut altitud 3 darjah dan longitud 6.4 darjah.
Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih. Tarikh Aidilfitri akan diumumkan selepas itu.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 22 April memaklumkan bahawa Majlis Raja-raja bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Mohd Asri bagaimanapun tidak mempertikaikan kaedah penetapan JAKIM, sebaliknya menjelaskan polemik yang berlaku.
“Saya tidak pertikai. Saya menjawab soalan tentang kenapa ada perbezaan dalam perhitungan.
“Perlis kita ikut keputusan bersama dalam menentukan hari raya,” demikian katanya yang dipetik Malaysiakini.
Sementara itu, di Indonesia, Pusat Sains Antariksa Badan Riset dan Inovasi Nasional (Brin) dilaporkan berkata keadaan hilal di Indonesia memenuhi kriteria ditetapkan Mabims kerana berada pada sudut 3.75 darjah (di Merauke) hingga 5.55 darjah (Sabang).
“Sekiranya hilal dapat dilihat di Kota Sabang, Banda Aceh, dan Jantho, ia bermakna Indonesia akan menyambut 1 Syawal pada 2 Mei ini.
“Namun, ia mungkin tidak sama dengan negara jiran seperti Malaysia, Brunei dan Singapura yang bakal menyambut 1 Syawal pada 3 Mei nanti,” kata peneliti Brin Andi Pangerang.
Katanya, antara ketiga-tiga negara Mabims, hanya Malaysia berpotensi menyambut lebaran pada hari sama dengan Indonesia berikutan Langkawi dan Perlis memenuhi kriteria baru itu.
Indonesia akan turut melihat anak bulan Syawal pada 1 Mei.
Balai Cerap Al-Khawarizmi sebelum ini dilaporkan, menyangkal dakwaan kononnya Aidilfitri tahun ini akan disambut sehari lebih awal dan bukannya pada 3 Mei.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Facebook rasmi agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu, Balai Cerap Al-Khawarizmi memaklumkan tangkap layar yang tular itu adalah palsu.
JAKIM melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata, hanya PMBRR selaku pihak berkuasa yang diamanahkan Majlis Raja-Raja pada malam berkenaan, bertanggungjawab dalam mengumumkan tarikh rasmi Aidilfitri 2022.