Oleh Fhatihah Zakinan
PETALING JAYA : Bukan mudah untuk mendapatkan khidmat polis pengiring berikutan perlu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Polis Negara.
Difahamkan, kelulusan berkecuali itu hanya tertakluk kepada individu tersenarai menerima kemudahan berkenaan yang menggunakan kenderaan rasmi, bagi urusan kerajaan.
Bagaimanapun, polis Pulau Pinang baru-baru ini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung seorang lelaki dipercayai anak Ahli Parlimen memandu kenderaan awam dan diiringi oleh dua anggota polis trafik bermotosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, Sabtu lalu.
Ia berikutan satu rakaman video memaparkan kejadian itu, tular di media sosial sehingga mendapat kecaman netizen.
Justeru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, laporan siasatan berhubung perkara itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya dua hari lagi.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan jika wujud kesalahan dilakukan anggota.
“Bagi orang yang menerima kemudahan itu, jika dikesan ada melakukan mana-mana kesalahan kerana melanggar undang-undang dalam negara, kita akan siasat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), pada Rabu, semalam.
Sementara itu, Hamzah berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan pengiring bermotosikal sudah jelas dan tidak memerlukan SOP yang baharu.
“Kita juga sudah menjawab isu ini di Parlimen, jadi tidak timbul masalah ini.
“Jika berlaku kesalahan, ia masalah individu yang menggunakan kemudahan yang tidak patut digunakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pula dilaporkan berkata, sudah tiba masanya khidmat polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat dimansuhkan kerana hanya membazirkan kerja PDRM.