OLEH: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (pindaan) 2022 menekankan definisi yang lebih komprehensif bagi istilah ‘tanah’ agar selaras seperti Kanun Tanah Negara yang termaktub dalam undang-undang Malaysia.
Tegas Timbalan Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pindaan akan memperuntukkan kawalan oleh kerajaan negeri terhadap spektrum di ruang udara untuk tanah di Sarawak.
“Pindaan ini juga akan mengawal selia dan mengawal penggunaan tanah, darat dan luar pesisir, di dasar laut yang membentuk pelantar benua Sarawak, untuk penyimpanan, pengekalan, penangkapan dan penyerapan karbon dioksida atau gas rumah hijau lain dalam sebarang bentuk,” katanya.
Sharifah Hasidah berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 di Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 hari ini.
Beliau menjelaskan pindaan nanti akan menjadi panduan kerajaan Sarawak untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 menjelang 2030.
“Pindaan akan membantu penubuhan rangkaian infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi seluruh negeri untuk penggunaan teknologi digital dan penggunaan tanah dan sumber asli,” jelasnya.
Situasi ini kata Sharifah Hasidah komited untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan perubahan iklim dan pemanasan global.
Menjelas lanjut Sharifah Hasidah berkata istilah semasa ‘tanah’ ditakrifkan apabila Kanun Tanah digubal pada
1958 harus dikemas kini agar diselaraskan dengan tafsiran undang-undang Malaysia yang lain, seperti Kanun Tanah Negara.
“Sebagai contoh, Seksyen 44 Kanun Tanah Negara meliputi dan termasuk ruang udara di atas tanah dan di bawah Seksyen 75A, Pihak Berkuasa Negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai kuasa untuk membenarkan penggunaan ruang udara di atas tanah negeri,” katanya lagi.
Justeru cadangan pemindaan ini kata beliau akan menjadikan ruang udara lajur di atas tanah sebagai sebahagian daripada tanah dalam takrifan istilah tanah.