spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Pesan jaga, jangan jual rumah – Agong

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

RAUB : Titah dan amanat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada empat pemilik kediaman rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), di sini, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Baginda bertitah supaya mengingatkan kepada pemilik yang juga mangsa banjir buruk, sekitar awal tahun ini, supaya tidak menjual rumah yang diterima mereka dan menjaganya dengan baik.

“Sedih saya kalau ini berlaku, kita akan buat satu prasyarat mesti dapat kebenaran daripada pegawai daerah… bukan hendak menyusahkan dan memperketatkan tapi hendak jaga kepentingan tuan tanah.

“Kalau ikut dari segi hutang, tidak ada hutang sebab semua dibiayai… tinggal di rumah ini jaga anak dan mak ayah,” titah baginda.

Terdahulu, keberangkatan baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Semasa kunjungan berkenaan, Al-Sultan Abdullah mendengar sembah taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Hafizah Zakaria.

Seri Paduka kemudian berkenan menyerahkan kunci rumah kepada empat pemilik kediaman masing-masing di Kampung Lechar, Kampung Temau, Kampung Sungai Sia dan Kampung Ulu Sungai, yang mengalami kerosakan teruk ketika banjir buruk melanda Pahang pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Rumah berkeluasan 960 kaki persegi (89.1 meter persegi) itu disiapkan dalam tempoh enam bulan dan mempunyai tiga bilik, dua bilik air, ruang makan serta dilengkapi perabot.

Baginda turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu dan mengurniakan sumbangan selain meninjau rumah setingkat berkenaan.

Penerima, Azrul Hisham Abd Aziz, 30, dari Kampung Sungai Sia, dan keluarga berbesar hati menerima kediaman baharu yang sangat selesa selepas rumah sebelum ini musnah sepenuhnya akibat banjir.

Katanya, dia bersama bapanya Abd Aziz Md Shor, 62; ibu, Minah Mat, 52, serta adik, Siti Rozaimah, 24, ketika ini menumpang di rumah ibu saudara sementara, sejak kehilangan tempat tinggal.

“Kami hanya tumpang berteduh di rumah mak cik yang terletak di belakang tapak rumah sekarang, Syukur, kini kami dapat pindah masuk ke rumah baharu.

“Bukan senang hendak dapat rumah begini sempurna lengkap serba serbi termasuk perabot. Junjung kasih di atas keprihatinan dan kurniaan baginda kepada kami sekeluarga, kurniaan ini sangat besar buat kami,” katanya.

Warga emas, Ab Holik Hasan, 60, menganggap diri dan keluarga sebagai ‘insan terpilih’ apabila menerima kurniaan rumah baharu itu.

“Memang tidak sangka langsung kami akan menerima tempat tinggal baharu selepas rumah sebelum ini ditenggelami air, yang menyebabkan saya dan keluarga terpaksa tinggal di pondok sementara di belakang tapak rumah ini,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases