Oleh: Diyana Samsuddin
KUCHING: Persidangan Kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 kali ini menyaksikan tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan bermula bacaan pertama pada hari kedua persidangan, hari ini.
RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 bagi bacaan kedua dan ketiga akan dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sementara itu, Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan membentangkan RUU Hutan (Pindaan) 2022 bagi bacaan kedua dan ketiga pada Khamis.
Manakala, RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2022 pula akan dibentangkan Timbalan Premier yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada hari keempat persidangan, iaitu pada Jumaat.
Pada persidangan kali ini juga akan mengenengahkan 437 soalan untuk jawapan lisan dan bertulis telah diterima daripada 41 Ahli Yang Berhormat, iaitu 284 soalan untuk jawapan lisan manakala 63 lagi untuk jawapan bertulis.
Manakala, satu usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri di bawah Peraturan Mesyuarat 23 iaitu usul berkaitan Akta Wilayah Laut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How.
Turut juga akan dibentangkan ialah usul pemilihan Ahli Dewan Negara yang akan diadakan pada persidangan hari kedua pada Rabu memandangkan tempoh pelantikan Dr Zaidi Suhaili sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua akan tamat pada 18 Julai 2022.