Mohd Nor Wahid
GARA-GARA mahu sekejap untuk ke kedai serbaneka, penyampai berita Khairul Rizuan Azizan berdepan detik cemas apabila kereta yang diparkirnya dipecah penyamun.
Dalam kejadian itu dia cedera diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana di Damansara Perdana, semalam.
Kejadian yang berlaku jam 3.40 petang itu telah menyebabkan Khairul Rizuan luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang melarikan diri.
Ketika kejadian, dia memarkir Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka di lokasi terbabit.
“Sebaik tiba, saya dapati premis berkenaan tutup dan kembali semula ke kereta.
“Ketika itu, saya melihat seorang lelaki berjaket menendang tingkap bahagian penumpang hadapan kereta saya dan mengambil beg yang saya tinggalkan dalam kereta.
“Saya menjerit ke arah lelaki terbabit dan dia membaling beg itu sebelum melarikan diri menaiki kereta.
“Saya cuba mengejar dan sempat menumbuk mukanya yang ketika itu sudah berada di dalam kereta tetapi suspek memecut, membuatkan saya terseret di jalan sebelum melepaskan diri,” memetik Berita Harian.
Susulan itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Damansara berhubung kejadian itu.
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick, yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun Instagram dan Tiktok miliknya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihaknya giat mengesan suspek.
“Kita dah kenal pasti (suspek) dan sedang kesan. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – Wacanakini