Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan agar Petronas mengambil alih syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB).
Beliau mengusulkan perkara itu ketika berdebat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kewajaran atau tidak menyelamatkan SEB.
“Petronas perlu ambil alih SEB dan apabila sudah pulih boleh jual ke pasaran dan rakyat akan menikmati keuntungan sama seperti tindakan Amerika Syarikat yang melaksanakan tindakan menyelamatkan syarikat kepentingan rakyat, apabila SEB mencapai keuntungan, rakyat yang melabur dalam ASB turut untung.
“SEB merupakan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia dengan pemegang saham utamnya ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 40 peratus, Sapura Holdings Sdn Bhd (14 peratus) dan selebihnya milikan awam.
“Perniagaan strategik negara yang mempunyai 4,000 vendor utama selain ia adalah syarikat yang dimiliki dana rakyat. Seramai 10,500 anak tempatan yang bekerja di bawah SEB, pelabur ASB ada 10 juta orang,” katanya pada sesi Debat Perdana antara Najib dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Debat ini berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara pada pukul 9 malam tadi.
Ia melakar sejarah kerana dua figura penting politik ini yang berkongsi pentas buat pertama kali dalam debat awam.
Bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Anwar yang berkata, terdapat lebih 100,000 syarikat gulung tikar dan lebih 40,000 muflis dan tidak diselamatkan.
Beliau turut menyentuh pendapatan Ketua Pegawai Eksekutif yang terlampau tinggi iaitu RM1.7 bilion sejak tahun 2016 antara penyumbang syarikat itu menerima kerugian.