Oleh Tun Puteh Wanti
BANGI : Program MyDESA menyediakan latihan khusus seperti kemahiran menguasai data dan lain-lain kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA).
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendedahan ini penting untuk memperkasakan pentadbiran Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA agar mereka tidak ketinggalan dari semua aspek.
“Dalam tempoh tiga bulan ini kita akan lihat perkembangan daripada keberkesanan program MyDESA.
“Jika mereka belum mahir, kita akan latih lagi sampailah mereka benar-benar mahir,” katanya pada sidang media sempena Majlis Kepimpinan MyDESA Jabatan Kemajuan Orang Asli 2022 Bersama Masyarakat Peringkat Pahang di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi, pada malam Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Kursus Kepimpinan MyDESA di Infra telah dilaksanakan pertama kali pada 8 hingga 10 April membabitkan 60 peserta terdiri Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA dari Raub, Bentong Jerantut dan Maran.
Siri kedua MyDESA dilaksanakan pada 13 Mei hingga 15 Mei 2022 di Infra membabitkan 60 peserta dari Pahang.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sasaran program ini adalah kejayaan di peringkat kampung dan mampu menyediakan ‘Blue Print’ mengenai apa perancangan mereka untuk membangunkan masyarakat Orang Asli, kita tahu hasilnya bukan segera tapi perubahan yang besar.
“Saya melihat perubahan besar yang berlaku dari segi pendidikan dan lain-lain. Ada sekolah rekodkan 18 pelajar memperoleh keputusan SPM terbaik, ada yang mendapat semua A.
“Ada Pengerusi JPKKOA dari Kampung Kemeton, Lipis menulis kepada saya dengan bahasa cukup teratur dan indah.
“Seorang wanita Pengerusi JPKKOA dari perkampungan Chini, pelajar dari US, fasih Bahasa Inggeris. Lebih teruja, sudah ada beberapa wanita jadi beberapa wanita dilantik sebagai Pengerusi JPKKOA,” katanya.
Tambah beliau, objektif program ini bukan masa segera, peringkat awal ni kementerian mahu mantapkan perincian dan tugas.
“Kebanyakkan pengerusinya golongan orang muda. Kita hendak asah peranan dan kemahiran mereka sebagai ahli, hendak mereka jadi profesional, meningkatkan kemampuan mereka agar lebih proaktif, meningkatkan komitmen dan membantu kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan replika Cek Elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Pahang tahun 2022 yang berjumlah RM1.29 juta.
Kadar elaun bulanan kepada Pengerusi JPKKOA kekal RM900 manakala Setiausaha RM600.