Oleh Tun Puteh Wanti
SHAH ALAM : Suasana ekonomi mula berubah selepas kerajaan mengumumkan fasa endemik dan membuka semua sektor seluas-luasnya.
Rakyat bangkit memulihkan ekonomi masing-masing, kebangkitan ini tentulah tidak mampu dilaksanakan tanpa ruang dan peluang untuk mereka.
Bagi membantu menjana ekonomi rakyat, Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC) menyasarkan untuk membuka 222 pusat khidmat usahawan di setiap wilayah parlimen di seluruh negara termasuk pembinaan dan pembukaan Grocer99 mart.com.
MEEDC ditubuhkan sebagai pusat pemantauan, perancangan, pembangunan perniagaan dan
keusahawanan nasional ke peringkat antarabangsa.
Presidennya, Tengku Adena Tengku Abdullah berkata, selain itu, penubuhan projek pertama dibawah MEEDC membuktikan bahawa banyak usahawan tempatan yang menghasilkan produk dan mampu untuk dibawa ke hadapan.
“Dengan adanya pusat khidmat dan Grocer99 mart tersebut, ia akan menjadi pusat pemantauan pendidikan, pembangunan ekonomi dan perniagaan keusahawanan di setiap wilayah parlimen.
“Antara fokus utama penubuhan Grocer99 mart adalah untuk menyediakan pasaran sedia ada kepada pengusaha produk makanan frozen halal Bumiputera Islam.
“Ia juga membuka peluang untuk membantu usahawan menaik taraf perniagaan dengan memperbesarkan lagi pengeluaran mereka,” katanya pada pembukaan kedai serbaguna yang pertama, Grocer99 mart di Seksyen 22, Shah Alam.
Adinda Sultan Selangor, Tengku Puteri Dato’ Sri Hajah Zahariah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang juga merupakan Penaung Kehormat DiRaja MEEDC Malaysia mencemar duli merasmikan kedai serbaguna berkenaan.
Inisiatif ini dapat mengembangkan produk makanan berasaskan pertanian dan perikanan kepada pengeluaran produk halal supaya dapat meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Konsep dan idea ini diilhamkan oleh Penasihat Eksekutif MEEDC, Datuk Seri Ahmad Khusairi Bani Hashim Al-Haj,” katanya.
Sasaran utama pembinaan Grocer99 mart.com di seluruh negeri dan di setiap Wilayah Parlimen projek ini dijangka akan berada di bursa Malaysia pada tahun 2026.
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Islam dibawah projek Grocer99 Mart.com bakal membuka
peluang kepada lebih banyak IKS untuk maju terus ke hadapan membina idea dan perniagaan yang lebih berdaya saing.
Melalui program ini, usahawan yang berhasrat untuk membina syarikat akan dibimbing sehingga mereka mampu membina legasi perniagaan yang boleh diwarisi.
Dengan menggunakan slogan, Halal Itu Wajib, membuktikan bahawa betapa serius MEEDC dan program Grocer99 mart.com untuk membawa jenama ini keperingkat lebih tinggi.