Oleh Tun Puteh Wanti
SEPANG : Wakil 400 peniaga dibawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang kecewa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak cakna tuntutan peniaga bagi meminta memanjangkan had tempoh sewaan perniagaan.
Ia berikutan keadaan peniaga-peniaga yang terjejas teruk dan terkesan pendapatan mereka akibat dua tahun berhadapan ancaman pandemik Covid-19.
Terdahulu, ratusan peniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Cyberjaya, mendakwa teraniaya apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengehadkan tempoh sewaan kepada 10 tahun tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Jahari Ibrahim mohon pertimbangan kerajaan negeri agar mempertimbangkan kerugian ‘dua tahun’ peniaga-peniaga ini sebelum menamatkan had tempoh itu.
“Kami ditawarkan tiga kaedah iaitu sambung setahun, sambung dua tahun atau sambung tiga tahun.
“Isunya kenapa MPSepang tidak mengambil kira dua tahun pandemik, peniaga tak dibenarkan buka kedai?
“Jika diambil kira tu, maka peniaga ada dua tahun boleh meneruskan perniagaan dan boleh ditawarkan tiga kaedah itu.
“Isunya ketika ini, ada peniaga yang memiliki anak-anak sekolah, ada peniaga yang perlu menanggung keluarga lumpuh dan kebanyakkannya hendak pulihkan ekonomi,” katanya kepada Wacanakini.com.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut memberi kerjasama untuk berunding dengan Amirudin agar satu penyelesaian dapat dicapai pada 9 Februari lalu.
Amirudin meluangkan masa hampir sejam mendengar luahan dan cadangan tempoh had masa kumpulan peniaga-peniaga berkenaan
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga setiausaha politik MB Selangor, Juwairiya Zulkifli dan Pegawai Khas Komunikasi PPIM, Gulab Jan Fazal Eladin
Untuk rekod, tempoh mengehadkan sewaan itu adalah dasar baharu MPSepang bagi memberi peluang kepada peniaga lain berniaga di premis seliaan mereka itu.
Bagaimanapun, polisi itu dilihat tidak sesuai dalam situasi tekanan ekonomi dan rakyat belum pulih sepenuhnya.
Difahamkan, antara cadangan yang dipertimbangkan MB Selangor adalah ‘review’ terlebih dahulu situasi peniaga sebelum ruang niaga itu diambil alih.
Ia bermakna jika status peniaga masih terjejas, maka peluang niaga akan dipanjangkan.