Oleh Tun Puteh Wanti
WASHINGTON : Seorang individu penerima jantung babi, meninggal dunia akibat virus haiwan itu selepas menjalani pembedahan Mac lalu.
David Bennett, 57, dari Amerika Syarikat (AS) yang menerima jantung babi diubah suai secara genetik kerana menghidap penyakit jantung, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Maryland (UMMC).
Tragedi itu dilaporkan oleh seorang pakar bedah, Griffith dalam satu webinar yang dianjurkan oleh Persatuan Transplantasi AS baru-baru ini.
Griffith memaklumkan para doktor berusaha menyelamatkannya namun tak berhasil dan menemui virus dari babi mungkin menjadi punca atau penyebab sebenar sehingga semua ini berakhir,” kata Griffith sepertimana dilaporkan oleh MIT Technology Review.
Sebelum ini, beberapa pakar berkata, pemindahan itu adalah eksperimen utama xenotransplant iaitu proses melibatkan pemindahan tisu antara spesies yang berbeza.
Justeru, mereka berpandangan eksperimen itu mungkin gagal akibat `kesilapan tidak disengajakan’ kerana babi yang dibiakkan untuk menyediakan organ sepatutnya bebas daripada virus.
“Sekiranya, ia merupakan jangkitan, kami mungkin dapat mencegahnya pada masa hadapan,” kata Griffith.
Sementara itu, Griffith juga mengakui doktor tidak dapat mengesan virus tersebut yang sudah mula membiak dengan cepat kerana ujian darah khas mengambil masa kira-kira 10 hari untuk dijalankan.
“Akibatnya, ini mungkin mencetuskan cytokine explosion iaitu tindak balas imun berlebihan yang boleh menyebabkan masalah serius,” katanya.
Prosedur pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.
Pembedahan yang dijalankan oleh pasukan perubatan UMMC adalah yang pertama kali dilakukan menggunakan kaedah pemindahan jantung babi kepada manusia.