Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Kerajaan belum membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, di Parlimen yang dijangka pada Julai depan, masih ada pemimpin politik berkesempatan bertindak lompat parti.
Terkini, mantan ahli PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, hari ini menarik diri sebagai ahli BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Parlimen Ampang itu turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan dan Komoditi.
Bagaimanapun, Zuraida menjelaskan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan perletakan jawatannya, dalam masa terdekat.
“Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beliau masih menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM berikutan pendirian PBM adalah selari terhadap sokongan kepada kerajaan.
“Saya sudah membuat pertimbangan mendalam untuk menyertai PBM dan mempercayai dengan perjuangan parti itu serta tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara.
“Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi terutama menjelang pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Penyertaan beliau ke parti itu juga bagi mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara.
“Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN dalam barisannya,” katanya.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Kabinet.
“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir ini sebagai Ahli Parlimen Ampang.
“Sepanjang pembabitan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat,” katanya.
Zuraida dilaporkan kini berada di Turki bagi memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.
Beliau dijangka ke Athens, Greece pula bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC), sebelum dijadualkan pulang ke tanah air, pada 2 Jun ini.
Untuk rekod, Zuraida pernah dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin.