Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : KJ antara nama individu yang dibangkitkan menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara 2014 hingga 2018, dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Nama KJ disebut berikutan ia tertera di dalam buku lejar syarikat berkenaan yang didakwa mencatatkan laporan keluar masuk wang daripada UKSB serta senarai nama penerima dana syarikat itu.
Peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mencadangkan perkara itu kerana beberapa perkataan ‘KJ’ yang didakwa merujuk sebagai ‘Khairy Jamaluddin’, ketika pemeriksaan balas terhadap mantan Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun.
Selain KJ, turut tercatat nama dalam buku berkenaan seperti ‘AK’ yang dipercayai merujuk kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, iaitu Akhbar Khan dan ‘FM’ sebagai Foreign Minister (Menteri Luar Negeri).
Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa, Vui Khun yang juga saksi pendakwaan ke-15 dalam keterangannya kemudian mengesahkan perkataan berkenaan dalam buku itu, namun tidak pasti ia merujuk kepada siapa.
Ia termasuk perkataan-perkataan lain di dalam buku berkenaan ketika disoal peguam Ahmad Zaidi.
Vui Khun turut mengesahkan, pendapatan UKSB hasil daripada subkontraktor di Hong Kong yang dilantik syarikat itu untuk melaksanakan sistem Visa Luar Negara (VLN).
Ditanya oleh Ahmad Zaidi mengenai sumber dana untuk membayar beberapa individu dalam buku lejar itu, Vui Khun berkata, ia adalah sumber yang sama dari Hong Kong.
Saksi berkenaan juga mengakui wang digunakan untuk membayar individu terbabit tidak dimasukkan dalam akaun bank milik UKSB.
Semalam, Vui Khun memaklumkan kepada mahkamah, wang diberi oleh syarikat kepada Ahmad Zahid bukan bermotifkan rasuah, sebaliknya untuk dana politik.
Kelmarin, saksi itu mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 sehingga 2018 berhubung kontrak sistem VLN.
Bayaran kepada mantan Timbalan Perdana Menteri itu bermula akhir 2014 dengan bayaran SG$200,000 sebulan, ia kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Hakim Mohd Yazid menangguhkan perbicaraan sebelum menetapkan 30 Mei untuk meneruskan prosiding.