spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

JHEAIK siasat kegiatan ‘Pak Lebai’ di Gunung Jerai

- Advertisement -spot_img

Oleh Tun Puteh Wanti

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sedang menyiasat aduan berkaitan video sekumpulan lelaki berjubah dan berserban disyaki terbabit amalan khurafat di atas Gunung Jerai dekat Yan di sini, seperti yang tular menerusi aplikasi media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusri Md Daud, berkata video berdurasi satu minit itu menunjukkan perbuatan khurafat yang dilakukan beberapa individu dan pihaknya memandang berat kes berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darulaman) 2014 kerana kesalahan doktrin palsu dan menghina serta menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 4, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombonasi hukuman itu.

“Manakala Seksyen 7 enakmen sama, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, pada masa sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan mengadakan siri penerangan di seluruh negeri ini berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

Beliau berkata, JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa sama akan sentiasa memantau aktiviti keagamaan di seluruh negeri ini.

“Selain itu, kita minta semua masyarakat supaya sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan.

JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Mohd Yusri berkata, JHEAIK juga amat berharap supaya masyarakat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam.

Sementara itu, Pakar Rujuk Hal Ehwal Agama PBB Malaysia, Ustaz Dr Nurul Haq Shahrir berkata, masih wujud kepercayaan sesetengah pihak bahawa Gunung Jerai adalah tempat Nabi Adam turun dari langit dan berlabuhnya bahtera Nabi Nuh adalah tidak berasas dan karut kerana tidak berdasarkan sebarang riwayat yang sahih.

“Ia tidak lebih dari dongeng dan cerita palsu.

“Ia mesti dicegah sebelum membarah,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases