Oleh Tun Puteh Wanti
PUTRAJAYA : Gong dipalu sebagai adat mengumumkan sesuatu berita. Seorang wakil pemimpin memaklumkan satu majlis keraian akan berlangsung, orang ramai dijemput hadir.
Orang ramai gembira boleh jumpa pemimpin, sahabat handai dan pelbagai hidangan menjamu selera.
Adat beratus tahun lalu terimbas kembali ketika penulis hadir bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Akademi BigBoys ke Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-menteri.
Ribuan pengunjung sudah tiba beratur lebih satu kilometer dari jam 8 pagi sejam sebelum acara bermula pada jam 9.30 pagi hingga 4 petang hari ini 8 Mei 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbaju Melayu warna merah hati hadir pada jam 10.10 pagi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Nancy Shukri dan Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Shahean @Askolani.
Pada jam 12 tengah hari, pengacara majlis mengumumkan hampir 100,000 pengunjung sudah hadir sejak awal pagi dan mungkin lebih lagi menjelang jam 4 petang.
Rakyat teruja untuk berjumpa PM hadir bukan sahaja dari Lembah Klang tetapi juga dari Melaka, Kelantan, Terengganu, Johor dan lain-lain.
Terdapat lebih 40 menu makanan seperti rendang, lemang, goreng pisang, bihun kari, bertih jagung, satey, kambing bakar, ais cendol, Char Kuew Tiaw dan lain-lain.
Seorang pengunjung, Datuk Grace Oyan berkata, dia dari Hong Kong dan hadir atas jemputan PM.
“Saya terkejut melihat kemeriahan rakyat hadir ke rumah terbuka PM, mereka semua gembira.
“Petugas mesra, susun atur majlis sangat bagus bermula daripada beratur untuk masuk, beratur untuk keluar dengan baik,” katanya kepada Wacanakini.com.
Seorang warga emas, Yong Hanifah, 76, berkata dia hendak tengok PM dari dekat dan kerana itulah anaknya bawa ke sini.
“Dapat juga tengok PM walau tak sempat bergambar. PM ni baik orangnya, lembut hati dan disayangi rakyat.
“Saya harap Malaysia lebih harmoni dan makmur dibawahnya,” katanya.
Pengunjung, Melati, berkata, dia dan anak-anaknya hadir ke majlis ini kerana mahu rasa suasana Raya setelah dua tahun berkurung tidak dapat raya dengan baik.
“Kali ini suasana benar-benar meriah, pelbagai bangsa Cina, India berkumpul walau cuaca agak panas tetapi masing-masing memahami, ikut SOP penjarakkan sosial.
“PM seorang yang berjiwa rakyat, lihat menu makan yang banyak dan sedap-sedap ini sudah cukup membuktikan beliau mahu setiap rakyat merasai nikmat dari perkongsian rezeki hari ini,” katanya.