Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : FGV Holdings Bhd menyasarkan 75,000 metrik tan makanan berasaskan isirung sebagai dedak haiwan ternakan bagi tahun ini, berbanding pengeluaran isirung sebanyak 40,000 metrik tan tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Nazrul Izam Mansor berkata, langkah ini bagi memenuhi permintaan isirung dalam industri ternakan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.
“Sebagai syarikat perladangan kelapa sawit, kami boleh keluarkan isirung yang boleh dibuat makanan ternakan untuk lembu, kambing dan ayam
“Selalu orang bertanya, untuk kuantiti diperlukan negara, mungkin tidak mencukupi sebab negara tidak keluarkan bijiran mencukupi, dengan adanya pengeluaran isirung, kita boleh kurangkan pergantungan kepada bijiran import,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri FGV dengan tema Raya Dulu-dulu.
Nazrul berkata, dalam keluarga Felda, pihaknya memiliki akses kepada tanah lebih 1 juta hektar dan menerusi agenda keselamatan makanan, peluang FGV terajui agenda makanan negara amat bertepatan.
“Selain perniagaan perladangan, kami juga ada gula, pertanian bersepadu, untuk pisang, nenas, beras, yang boleh dijual kepada rakyat melalui rangkaian pengedaran.
“Sejak jenama Saji menjadi minyak paling popular dengan pegangan pasaran 47 peratus, semua barang boleh masuk ke distribution,” katanya.