spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Debat Perdana : Jangan ada lantikan politik lagi – Najib

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Sejarah negara terlakar lagi, apabila arena politik kembali ‘bernafas segar’ dengan dua figura utama negara berkongsi pentas buat pertama kali dalam debat awam.

Debat Perdana antara mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada jam 9 malam, 12 Mei 2022.

Fokus debat menyentuh syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd sama ada perlu diselamatkan, termasuk rangkuman mengenai pengurusan aspek ekonomi, politik, urus tadbir dan hala tuju negara.

Bagaimanapun, sesi debat berkenaan secara tidak langsung turut mendedahkan sebahagian sisi sebaliknya.

Anwar di awal sesi debat berkenaan menyoal Najib berhubung prinsip integriti dan ketelusan yang meminta menjelaskan hasrat untuk melakukan transformasi dalam kerajaan ketika mengetuai pentadbiran negara, namun Ahli Parlimen Pekan itu kembali mengkritik lantikan politik yang dibuat pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib membangkitkan keputusan kerajaan PH pada 2018 untuk melantik peguam, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berikutan, katanya perkara itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara pelantikan kedua-dua jawatan berkenaan melibatkan lantikan politik sebelum PH mengambil alih pentadbiran negara.

“Kalau kita nak elakkan rasuah, jangan lantik seorang yang anggap dirinya lantikan politik untuk jadi peguam negara.

“Tak berlaku dalam sejarah negara peguam negara adalah lantikan politik.

“Yang mengejutkan, ketua pesuruhjaya SPRM juga lantikan politik. Daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kemudian jadi ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Najib malah menegaskan, pendakwaan terpilih tidak sepatutnya berlaku jika benar mahu memerangi rasuah.

“Jika benar nak lawan rasuah…Jangan pilih bulu,” kata Najib.

Dalam percubaannya untuk meremehkan pendirian antirasuah Anwar, Najib berkata lantikan politik juga menjejaskan integriti PH.

Najib turut menafikan soalan dikemukan Anwar mengenai era pentadbirannya dilihat tidak menitikberatkan pembasmian rasuah

Beliau seperti ‘memulang paku buah keras’, menyatakan jika PH begitu serius memerangi rasuah, maka tidak berlaku dalam sejarah negara lantikan politik membabitkan peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM.

Debat berlangsung satu jam 30 minit itu diakhiri dengan pendirian Najib bahawa beliau bersetuju dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu berhubung soal prinsip ketelusan, integriti, memerangi rasuah dengan memastikan tiada lantikan politik dalam jawatan kerajaan dan melaksanakan pendakwaan secara adil.

“Jika kita mengamalkan prinsip-prinsip ini, perkukuhkan institusi awam, sistem keadilan kita, pendakwaan mengangkat keadilan juga.

“Jangan ada lantikan politik lagi, jangan ada campur tangan politik lagi, kita pastikan ini semua jadi teras kepada masa depan kita (Malaysia),” katanya mengakhiri tirai penggulungan debat.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases