Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian menyokong usaha sekiranya kerajaan sekarang membuka semula kes Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kerugian berjumlah RM31.5 bilion dalam ‘skandal forex’ atau tukaran wang asing membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
Ketua Pembangkang secara terbuka menegaskan, mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggesa kerajaan melaksanakan usaha itu.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah jika peguam negara (AG) mahu membuka kes itu.
“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka. Saya tiada masalah.
“Ini beza saya dengan (Datuk Seri) Najib (Razak). Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR menjawab soalan diajukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika program Debat Perdana secara langsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), pada 12 Mei lalu.
Skandal forex merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan BNM dari 1991 hingga 1994 semasa negara diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Anwar berkata sekali lagi menegaskan, jika masalah rasuah dalam negara tidak boleh diselesai dengan menyeluruh, lambat laun ia akan menghancurkan negara.
“Jangan gunakan alasan apa yang menghalang Peguam Negara membuka semula kes.
“Ini saya selalu sebut di Parlimen, ia digunakan sebagai alasan kononnya mantan Ketua SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Perdana Menteri, keputusan mereka itu menghalang kita.
“Perdana Menteri sekarang UMNO, ambillah tindakan.
“Tetapi jangan lupa ramai yang terpalit, termasuk yang belah sana. Ini bukan calang-calang orang tetapi ini cara yang profesional supaya negara ini dapat (kembali) diyakini,” katanya.