Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan forensik audit untuk mengetahui punca sebenar syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd muflis.
Anwar menegaskan, apa gunanya pelbagai usaha menyelamatkan syarikat tetapi tiada ketelusan dan membawa pihak terlibat agar diadili.
“Seperti mana soal Perwaja dahulu, saya pernah bangkit forensik audit dan dibentang ke Parlimen tetapi ada pihak takut.
“Begitu juga Sapura, ya perlu diselamatkan namun, perlulah kepada soal ketelusan,” katanya dalam Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Anwar yang berlangsung jam 9 malam tadi.
Sebelum ini, Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.
Perolehannya merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Selain itu, Anwar dan Najib turut membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.