Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Sungguh bagai dikata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Sesuatu kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa usaha.
Tidak peduli dengan kata-kata negatif orang sekeliling,
penyanyi dan mantan ratu cantik ‘Miss World Malaysia’, Dr Soo Wincci membuktikan kerja keras dan pengorbanannya selama ini membuahkan hasil sehingga diiktiraf Malaysian Book of Records (MBOR).
Gadis berbangsa Cina kelahiran Selangor itu terus diiktiraf MBOR kerana pelbagai pencapaian luar biasanya dan terbaharu, sebagai ‘Miss World Malaysia’ pertama dilantik profesor di negara ini.
Bukan sahaja cantik jelita dan ‘otak cair’, Wincci seorang yang optimis, suka menambah ilmu dan memiliki sifat merendah diri.
Ibarat berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Wincci tetap bangkit biarpun sentiasa berdepan cabaran dan menerima kritikan di sekeliling, malah ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang diceburi.
Wincci menerusi hantaran dimuatnaik di Instagramnya, menterjemahkan pengalamannya itu dalam mengecapi kejayaan kini.
“Beberapa tahun kebelakangan ini sememangnya merupakan fasa yang agak sukar untuk semua orang. Kehidupan kita betul-betul telah diuji. Seperti kata pepatah, ‘What doesn’t kill you, makes you stronger’.
“Ya, memang benar dan ini bukan April Fool. Hari ini, secara rasmi, saya telah dilantik sebagai profesor. Bermula sebagai ratu cantik dan kini mula melangkah ke dunia profesor,” tulisnya.
Pelantun Terus Teranglah itu juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya dari belakang selama ini.
“Pada masa yang sama, Wincci menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa mengejar cita-cita yang diimpikan.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini.
“Terima kasih juga buat mereka yang ketawakan, berniat khianat dan tikam saya daripada belakang. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Kerana perkara ini, saya menjadi lebih kuat dan bersemangat tinggi. Ini hanya permulaan buat perjalanan baharu dalam kehidupan saya.
“Jangan pernah sekali pun berputus asa dengan setiap perkara yang kita impikan. Bangkitlah dengan lebih kuat setiap kali kita terjatuh,” tegasnya dalam tulisan itu.
Dalam hantaran berasingan, Wincci mendedahkan, dia bakal memulakan perkhidmatannya sebagai pensyarah dan tenaga pengajar di Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Bersedia berkhidmat demi negara dengan perkara yang paling saya suka iaitu muzik,” katanya yang masih mengekalkan ciri patriotik dalam jiwanya.