Oleh : Mohd Fikri Mie
KUANTAN, 16 April 2022 – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyokong penuh keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, berkata keputusan itu amat tepat pada masanya dengan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya berlandaskan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Keputusan ini pastinya memberi impak positif kepada UMNO terutama ketika jentera parti sedang giat melakukan persiapan dan gerak kerja untuk menghadapi PRU-15.
“Kewibawaan Datuk Seri Ismail Sabri sememangnya terserlah terutama apabila berjaya mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara kerajaan dan parti pembangkang yang memberi kesan langsung kepada kelancaran pentadbiran negara.
“Saya berpendapat, pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada PRU-15 mampu meneruskan kesinambungan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini terutama dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Semalam, MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU-15.