Mohd Nor Wahid
VENUE debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Sapura Energy Berhad (SEB) terpaksa diubah ke lokasi lain berikutan keengganan Universiti Malaya membenarkan ia diadakan di Dewan Tunku Canselor.
Perkara itu disahkan Najib yang memaklumkan debat dengan Ketua Pembangkang itu akan tetap berlangsung cuma di lokasi berlainan.
“(Debat tetap berlangsung) Cuma tempat sajalah… saya diberitahu UM tak setuju dengan pilihan dewan, jadi kita akan cari tempat lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir majlis berbuka puasa anjuran Umno Bahagian Petaling Jaya hari ini.
Baru-baru ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta jasa baik pengurusan UM dalam mempertimbang kelulusan bagi penganjuran debat antara Najib dan Anwar.
KMUM berkata penganjuran debat itu akan mencerminkan pembudayaan diskusi ilmiah serta diskusi perihal pembuatan dasar yang perlu dimartabat.
Menurut kesatuan itu, pihaknya telah menghantar permohonan rasmi secara bertulis beberapa minggu lalu kepada pihak universiti dan menunggu kelulusan Pejabat Naib Canselor. -Wacanakini