spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Tun M bakal disiasat

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM : Tiada angin, tiada ribut, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba menimbulkan teka-teki baharu apabila beliau mendakwa akan dipanggil pihak berkuasa untuk disiasat.

Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran dimuatnaik di akaun Facebooknya, pada Isnin.

Bagaimanapun, Tun Mahathir tidak menyatakan secara terperinci sebab siasatan berkenaan.

Namun, ia dipercayai berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan tulisan di hantaran sama.

“Ya. Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini, satu tekanan yang menakutkan. Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay,” katanya.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, dia begitu hairan kerana rakyat Malaysia tidak marah terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana kedua-dua mereka antara yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan kes 1MDB.

“Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.

“Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti Najib (BN) disokong sehingga menang dua per tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO juga dilihat lebih menghormati Najib berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam satu rakaman video Perdana Menteri ditolak ke belakang oleh Presiden UMNO dan tarik Najib ke hadapan di tempat Perdana Menteri.

“Dari peristiwa ini jelas Najib lebih dihormati oleh UMNO daripada Perdana Menteri. Apakah jenis kerajaan yang didirikan oleh Ismail Sabri jikalau ia boleh dihina di hadapan dunia,” katanya.

Tun juga mendakwa, Ismail Sabri tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri, sebaliknya individu yang menjadi penyokong kuat Najib akan dipilih sebagai perdana menteri baharu.

“Ramai ahli UMNO hendak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera. Apakah Ismail Sabri akan jadi Perdana Menteri jika UMNO menang. Tentu tidak.

“Yang akan jadi PM tentulah penyokong kuat Najib. Bagi kerajaan yang akan didirikan, yang utama adalah membebas Najib dari hukuman 12 tahun penjara,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases