BANGSAR : Sumbangan wang tunai yang diterima menerusi program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan akan dimanfaatkan untuk keperluan anak Kurang Upaya (OKU).
Demikian luah salah seorang dari 145 penerima sumbangan di Lembah Pantai di Masjid Ar Rahah Bangsar South di sini malam tadi.
Ibu tunggal Marini Abd Rashid, 47, berkata, seorang anaknya lumpuh dan pastinya sumbangan malam ini mampu meringankan sedikit sebanyak beban.

“Dua lagi anak saya masih belajar dan saya tak dapat kerja kerana menumpukan sepenuhnya pada anak saya yang kurang upaya ini.
“Syukur dan terima kasih Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang membantu kami sekeluarga,” katanya kepada Wacanakini.com.
Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan menyantuni 145 asnaf, tujuh masjid dan tiga surau Jumaat di Lembah Pantai malam tadi.
Penerima adalah terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan mereka yang kurang kemampuan menerima RM200 setiap seorang.
Program dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dilaksanakan secara strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan dan McDonald’s Malaysia.
Peruntukan sumbangan adalah melalui Tabung Amanah KWP dan Baitulmal MAIWP disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani.
Kedua- dua pemimpin itu berbuka puasa, solat Terawih bersama lebih 300 hadirin yang memenuhi ruang Masjid Ar Rahah Bangsar South dan mengambil peluang bertemu secara dekat dengan Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Dalam pada itu, penerima sumbangan Faridah Ahmad, 53, berkata ini kali pertama bertemu dekat dengan pemimpin pilihan rakyat ini.
“Saya terkejut dapat lihat dengan lebih dekat, orangnya tegas tapi peramah memang ciri pemimpin disegani.

“Terima kasih memahami keadaan rakyat yang miskin bandar seperti kami, harga barang semua tinggi ketika ini jadi apa-apa sumbangan pemimpin memang cukup membantu, terima kasih,” katanya.
Seorang lagi ibu tunggal, Norsiah Ariffin, 68, dari Bukit Pantai berkata ini kali pertama dia menerima bantuan.

“Saya ibu tunggal, warga emas dan juga asnaf. Pada usia ini yang kematian suami dan tidak dikurniakan anak hidup agak sukar tetapi saya bersyukur masih ada yang ingat.
“Tiada kata dapat diluahkan tetapi syukurlah terhadap segala nikmat dariNya. Terima kasih YB Menteri teruskanlah usaha murni ini kerana kami sentiasa menyokong anda,” katanya.
