Oleh Tun Puteh Wanti
CHERAS : Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di teruskan di Bandar Tun Razak pada hari ke 10 Ramadan.
Sembilan masjid dan lima surau di daerah ini menerima bantuan wang tunai menerusi program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan.
Setiap masjid menerima wang tunai RM1,000 manakala surau pula RM500 selain sumbangan wang tunai kepada 145 asnaf.
Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Dato Mokhtar meluahkan rasa syukur atas kesungguhan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sentiasa mengutamakan keperluan masjid dan surau.
“Sejak awal dilantik Menteri KWP sehingga ke hari ini, Shahidan sentiasa turun padang untuk bersama rakyat, dengar luahan dan kehendak rakyat di setiap Parlimen.
“Kebajikan rakyat diutamakan khususnya mereka yang terkesan COVID-19, kehilangan kerja, terbabit bencana.
“Rakyat bersyukur kerana ada Menteri sepertinya,” katanya kepada Wacanakini.com ketika hadir ke Sesi Penyampaian Sumbangan Nur Ramadan kepada wakil pengurusan masjid dan surau.
Turut hadir, Pegawai Tugas-tugas Khas 1 Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman dan Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi, Datuk Anwar Zaid.
Dalam pada itu, penerima asnaf dikenali Mat Jan meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima bolehlah dikongsi bersama isteri dan anak mereka menjelang Aidilfitri.
“Syukur dan ribuan terima kasih kepada Shahidan,” katanya.
Pengerusi Masjid Zaid bin Thabit Desa Tun Razak, Zulkafli Zohor bersyukur kerana Shahidan membantu memudahkan urusan masjid menerusi bantuan yang diberi.
“Dengan bantuan ini, lebih banyak aktiviti boleh dilakukan di masjid,” katanya.
Seorang lagi Pengerusi Masjid Al-Mubarahah Taman Bukit Cheras, Ustad Mohd Sayuti Jalaludin berkata, sumbangan ini mampu membantu pihak masjid jalankan program.
“Sumbangan yang disalurkan membuktikan Shahidan sangat cakna kepada hal ehwal masjid dan surau.
“Syukur dan ribuan terima kasih kepada YB dan KWP atas bantuan kepada kami,” katanya.