Mohd Nor Wahid
ARAU : Setelah dua tahun sunyi dan hilang kemeriahannya akibat pandemik Covid-19, kedatangan 1 Ramadan tahun ini jelas berbeza sekali di Pasar Ramadan Simpang Empat, Arau, Perlis.
Jelas sekali, susulan negara melangkah ke fasa peralihan endemik, Pasar Ramadan berkenaan kini ‘hidup’ semula dengan dikunjungi orang ramai yang teruja untuk merasai kembali kemeriahan yang hilang selama ini.
Tambah menarik, kehadiran wakil rakyat kesayangan Datuk Seri Shahidan Kassim di pasar Ramadan berkenaan pada hari pertama puasa semalam mencetuskan suasana kemeriahan yang tidak dijangka.
Kelazimannya seperti tahun-tahun sebelum pandemik, Ahli Parlimen Arau itu akan cuba meluangkan masanya di bulan Ramadan untuk turun ke pasar berkenaan bagi mendekati dan beramah mesra dengan rakyat.
Apa yang mengujakan setiap kali turun ke Pasar Ramadan Arau, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan akan membantu para peniaga dengan membeli dan kemudiannya memberikan percuma kepada pengunjung.

“Hari ni hari pertama kita meniaga, kita rasa cukup gembiralah. Datuk Seri pun datang seperti setiap tahun dia akan beli seperti mana selalu.
“Dia pi tang mana gerai, dia bagi duit siap-siap, jadi pengunjung terus mai ambil sumbangan Datuk Seri. Setiap tahun memang macam tu. Kita pun akan tunggu memang dia akan sampai dan tahun ni dia sampai pada 1 Ramadan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak lupa rakyat di sini, selalu turun padang, beri sumbangan untuk pengunjung di pasar ramadan ini seperti selalunya,” kata seorang peniaga, Fadhil Ahmad.

Bagi Aizat yang merupakan peniaga satay berkata, sumbangan Ahli Parlimen Arau itu dapat memberi peluang kepada golongan yang tidak mampu merasai juadah yang diidamkan.
“Alhamdulillah terima kasih kepada Datuk Seri kerana memberi makanan percuma dengan cara ini.
“Ini tindakan yang betul sebab kadang kadang orang teringin, nak beli tak cukup duit. Jadi dengan cara sedekah ini boleh bagi peluang merasainya.” katanya yang meniaga satay.

Manakala bagi Puan Norma, tindakan Shahidan itu wajar dipuji kerana telah menyuntik semangat para peniaga.
“Baguslah. Bukan sahaja untuk pengunjung tapi juga untuk para peniaga seperti kami. Dia beli banyak-banyak dan agihkan percuma itu telah merancakkan semangat kami. Kami jadi lebih bersemangat,” katanya.

Bagi pelajar Ikhwan Syamil dan Shahrul Izwan, kedatangan ke pasar Ramadan petang itu ternyata langkah kanan kepada mereka berdua.

“Alhamdulillah dapat jimat duit belanja hari ini. Sebagai pelajar kita memang ada kekangan dan kena berjimat.
“Terima kasih Datuk Seri atas sumbangan dan makanan percuma ni. Selain dapat rasa makanan yang kami teringin, hari ni juga poket kami dapat dijimatkan. Terima kasih ya!,” kata Ikhwan Syamil.
Sementara itu, Shahidan yang ditemui berkata, beliau turun padang ke pasar Ramadan berkenaan adalah seperti kelaziman yang dilakukannya pada setiap kali bulan mulia ini tiba.
“Insyallah kita akan melawat ke gerai-gerai, kita bantu peniaga-peniaga dan dalam masa yang sama semua barangan yang kita beli, kita akan edarkan kepada orang ramai.
“Dengan cara ini kita dapat menolong peniaga-peniaga dan juga semua pihak,” katanya. – End