spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Selepas Mahiaddin, Ahmad Zahid saman Tun M

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Selepas Tan Sri Mahiaddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad pula kini berdepan saman fitnah yang difailkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan mendapatkan bantuan mantan Perdana Menteri itu bagi membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.

Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 April lalu, dengan menamakan Mahathir, 97, sebagai defendan tunggal manakala notis tuntutan dihantar pada 25 April.

Beliau mendakwa, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu telah mengeluarkan kenyataan palsu dan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.

Kenyataan itu dipercayai berpunca daripada sebuah rakaman video yang dikeluarkan pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada 23 Februari lalu.

Rakaman video terbabit memaparkan Tun Mahathir pada sidang medianya mengakui Ahmad Zahid pernah hadir ke rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapi mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, laporan rakaman video majlis berkenaan mendapat jumlah tontonan sebanyak lebih 30,000 kali melalui akaun Youtube Astro Awani.

Selain rakaman itu, ia telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial serta portal berita dalam talian pada 23 Februari lalu.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi itu pernah mendakwa, pertemuan itu dipercayai berlaku kerana beliau adalah seorang Perdana Menteri ketika itu, namun diketahui bahawa Ahmad Zahid akan dimasukkan ke penjara.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, kenyataan palsu terbabit jelas memfitnah dan telah menjejaskan imej serta reputasinya pada umum.

“Ia tidak benar, tidak berasas, dan berniat jahat (untrue, unwarranted, unsubstantiated and mischievous), Dr Mahathir tiada sebarang alasan munasabah untuk memutuskan bahawa kenyataan itu adalah benar.

“Kenyataan itu menunjukkan bahawa saya adalah seseorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan, menangguh perbicaraan jenayahnya yang masih berjalan,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian berkata, pihaknya memohon satu perintah injunksi interim mengarah defendan menulis kepada portal berita dalam talian serta platform sosial media supaya pemadaman, penerbitan fitnah tersebut serta menyerahkan sesalinan notis bagi tujuan ini kepada pihaknya.

Selain itu beliau turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan am serta kos tindakan itu daripada defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan terbabit telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, ketika dihubungi media, peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, prosiding ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Afidah Idris, secara dalam talian pada Rabu.

Menurutnya, pendengaran permohonan inter-parte pula akan didengar pada 17 Jun di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff, melalui sidang video.

Untuk rekod, ini merupakan saman kedua Ahmad Zahid terhadap seorang pemimpin parti politik, selepas mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin, berhubung isu sama, pada 5 April lalu.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases