Oleh Tun Puteh Wanti
AMPANG : Tiada siapa yang menyangka di aras satu pasaraya Axis Mall, di sini terletak sebuah salun rambut, Danny Rich Salon yang sangat mewah dan menakjubkan.
Sebagaimana namanya, pelanggan yang masuk ke salun ini akan berasa diri seperti berada di istana, daripada set perabot sofa, kerusi pelanggan, kaunter bayaran dan lain-lain hiasan dalaman menggunakan ukiran emas, baldu dan eksklusif.
Saat badan berbaring di atas kerusi yang selesa dibuat khas dari Itali, rambut disirami air dan proses pencucian bermula, pelanggan akan merasa pengalaman mendapat layanan ibarat VVIP.
Walaupun terima layanan Diraja namun harga ditawarkan hanya RM149 bagi semua rawatan tanpa mengira tebal atau nipis, panjang atau pendek.
Jadi tidak hairanlah, 99 peratus yang pernah guna khidmat salun ini pastinya kembali semula dan tidak memilih yang lain.
Malah, pelanggan-pelanggan setia Danny Rich Salon ini datang dari luar negara seperti Dubai, Amerika Syarikat dan Australia.
Jelas pemiliknya, Danny, sanggup mereka ‘travel’ setiap tiga bulan sekali semata-mata untuk dapatkan rawatan rambut di sini.
“Ada juga pelanggan tetap dari Sarawak bergegas datang sejurus PKP ditamatkan kerana hendakkan rawatan rambut di sini.
“Saya rasa keikhlasan dan kesungguhan untuk buat orang jadi cantik itu adalah kunci kenapa pelanggan tetap kami sudah cecah 10,000 sejak tahun 2012 beroperasi,” katanya kepada Wacanakini.com.
Danny berkata, beliau berhabis lebih RM250,000 untuk ubahsuai dekorasi dan perabot untuk salun berkenaan.
“Kos itu adalah wang simpanan saya sendiri tanpa pinjam mana-mana kerana saya tidak mahu terbeban di kemudian hari.
“Salun ini baru beroperasi semula pada September 2021 selepas dua tahun ditutup kerana PKP.
“Ujian kami ketika itu kerana salun baru diubahsuai dan habis beratus ribu tiba-tiba terpaksa ditutup.
“Bagaimanapun syukur kerana kami sudah ada ribuan pelanggan tetap jadi mereka minta datang ke rumah untuk cuci dan dandan rambut.
“Jadi moralnya, jangan putus asa pasti ada jalannya untuk kita semua bangkit semula,” katanya.