spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Rohana Abdullah diterima warganegara, hidup bakal berubah

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

PUTRAJAYA : Nasib gadis tanpa kerakyatan, Rohana Abdullah, yang sebelum ini mendapat perhatian Perdana Menteri, bakal berubah lebih baik selepas ini, sebaik sahaja dia menerima Surat Keputusan Kewarganegaraan.

Ia sekali gus membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini berjanji untuk membantu mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan untuk Rohana, mengotakan janjinya.

Rohana, 22, dilihat menangis sejurus menerima surat berkenaan yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini, semalam.

Rohana antara pemohon berusia antara lima hingga 24 tahun menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan.

Mereka ialah 18 pemohon lelaki dan 16 pemohon wanita iaitu 21 pemohon Melayu, lapan pemohon Cina, empat pemohon India manakala seorang individu beragama Islam yang dibesarkan oleh wanita bukan Islam.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemui Rohana gagal berikutan dia dan ibu angkatnya yang juga seorang wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, dibawa pergi oleh seorang wanita ketika majlis sedang berlangsung.

Sementara itu, Hamzah berkata, dia dimaklumkan bahawa Rohana menangis kerana terharu dan berterima kasih kepada kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana meluluskan permohonannya.

“Dia (Rohana) ucapkan terima kasih kerana dapat status warganegara, saya katakan kepada beliau sebenarnya kita bukan beri kepada dia seorang, ramai lagi.

“Dia menangis kerana dia sudah tunggu lama. KDN kena selidik semua perkara sebelum kita nak berikan taraf kewarganegaraan kepada sesiapa.

“Penyelidikan itu yang mengambil masa kadangkala cepat, kadang-kadang lambat terpulang kepada individu tertentu.

“Yang cepat kerana semua dokumen sudah lengkap dan yang dokumen yang tidak lengkap itu kadang-kadang memakan masa sehingga belasan tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah turut mengingatkan, individu yang menerima kewarganegaraan Malaysia supaya berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara dan mematuhi undang-undang negara ini.

Katanya, surat berkenaan ibarat anugerah tidak ternilai negara, justeru diingatkan untuk menyokong inisiatif kerajaan dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri agar dapat memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, ibu bapa penerima juga diingatkan untuk mendidik anak masing-masing sebaik mungkin supaya mereka menjauhkan diri daripada terbabit dengan aktiviti tidak berfaedah yang boleh merosakkan masa depan mereka.

“Ingin saya ingatkan anugerah ini penting, yang datang dengan tanggungjawab yang amat besar. Tanggungjawab kepada negara, ibu bapa dan saudara mara.

“Saya berharap penerima sentiasa berpegang kepada lima prinsip rukun negara, memelihara kerukunan negara tercinta.

“Ingatlah keluarga besar Malaysia datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Kisah Rohana dan ibu angkatnya, yang dilaporkan secara eksklusif oleh akhbar Harian Metro, mendapat reaksi pelbagai pihak kerana wanita warga emas itu sanggup menjaganya seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan lagi, walaupun berbeza agama.

Ketiadaan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri menyebabkan kehidupan Rohana agak sukar sehingga dia terpaksa berhenti sekolah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cakna dengan kisah kesukaran gadis itu, malah berjanji mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases