Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik percaya pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah langkah terbaik untuk mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional (BN).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pemilihan Ahli Parlimen Bera itu menandakan parti komponen sebulat suara dengan hasil perbincangan sekian lama, selain sudah membuat analisis kepimpinannya sebagai suatu kepimpinan menyerlah.
“Kami sudah berbincang sekian lama serta membuat analisis kepimpinan bahawa kepimpinan Ismail Sabri adalah menyerlah, sebab itu asas keputusan dibuat.
“Saya menyokong keputusan politik ini dan pada masa sama kerajaan dapat diperkukuhkan. Apa yang penting ia mengembalikan kegemilangan BN seperti sedia kala,” katanya yang pada majlis berbuka puasa anjuran Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang diedarkan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan datang.
Ka Siong menyifatkan, keputusan itu menunjukkan kesungguhan UMNO dan BN untuk menawan semula dalam PRU-15.
“Saya yakin dengan sokongan rakyat momentumnya dapat dikekalkan dan kita dapat melakukan terbaik untuk mencapai satu keputusan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata UMNO berterima kasih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana sudah memberi usul (endorsement) dan membawa perkara itu kepada MKT.
“MKT sebulat suara bersetuju dengan usul terbabit dan ini membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa UMNO adalah satu pasukan dan perkara yang utama kepada semua individu yang ada dalam UMNO ini melihat keutamaan parti politik, parti UMNO itu sendiri. Jadi semua orang menyokong,” katanya.