KUALA LUMPUR : Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu anjakan paradigma Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) versi 2.0 selepas pusat pendidikan itu berjaya menginjak usianya ke 50 tahun.
Beliau berkata, MRSM versi 2.0 menyaksikan perubahan daripada sistem pembelajaran tradisional kepada sistem digital.
“Tiada istilah untuk mengurangkan kualitinya sebaliknya MRSM perlu terus diperkasakan untuk ‘survive’ bagi tempoh 50 tahun lagi.
“Visi saya untuk melihat MRSM terus berkembang seiring dengan revolusi dunia di hujung jari.
“Lima dekad lalu pada tahun 1972, pelajar MRSM belajar dengan pakai papan putih, papan hitam tetapi kini papan pintar.

“Kini sistem pembelajaran sudah berubah. Dulu keperluan pelajar adalah bawa baju, selipar dan stokin tetapi sekarang keperluan utamanya adalah gajet berserta kemahiran menggunakannya.
“Semua kena berubah ikut keadaan semasa, kita perlu berubah, pengurusan MARA perlu cakna juga agar tidak tertinggal,” katanya kepada Wacanakini.com.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas MRSM dan Majlis Berbuka Puasa MARA di Hotel Premiera di sini malam ini.
MRSM yang menyambut Ulang Tahun Ke-50 penubuhannya telah berjaya mendidik dan melahirkan 194 ribu pelajar sejak tahun 1972.
Antara tokoh profesional kelahiran MRSM ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Dekan Fakulti Perubatan KPJ Healthcare University College (KPJUC), Prof Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan
Muhamed.
Tambah Mahdzir, bekas pelajar MRSM atau lebih dikenali Anak Sains MARA atau ANSARA, telah berjaya mengungguli sektor kritikal negara terutamanya yang melibatkan bidang sains dan teknologi.
“Secara tidak langsung mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan disamping membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
“Sambutan Jubli Emas lang tahun Ke-50 MRSM bertemakan “MRSM Mendukung Aspirasi, Mencorak Kecemerlangan Generasi.

Untuk rekod, MARA kini mempunyai 55 buah MRSM di seluruh negara.
Terbaru, MRSM Ranau dan Bintulu dijangka siap akhir tahun ini dan lima buah lagi akan dibina iaitu MRSM Sik, Ketereh, Tanah Merah, Lawas dan Dungun.
Tahun ini MARA menerima hampir 75 ribu permohonan kemasukan ke tingkatan 1 dan 4 MRSM.
MARA hanya mampu menawarkan 9,900 tempt kepada pelajar yang memenuhi syarat dan kriteria pemilihan.
Sementara itu, MRSM masih mengekalkan dasar menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pendidikan menengah di MRSM.
“M40 sebanyak 20 peratus, T20 sebanyak 15 peratus dan bakinya bukan Bumiputera,” katanya.