Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini.
“Kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir pada 31 Julai 2022 disputuskan tidak akan diteruskan lagi.
“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manisfestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu diedarkan kepada media pada Majlis Berbuka Puasa MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di sini.
Tambah Ahmad Maslan, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.
Pada hari yang sama akan diadakan Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri.