KUALA LUMPUR : Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid mencadangkan lagu tema Suara Dunia untuk Al-Aqsa.
Mohd Azmi berkata, lagu itu belum dicipta tetapi dalam peringkat awal cadangan untuk menarik minat lebih ramai rakyat memahami perjuangan MAPIM dalam isu menyelamatkan Masjid Al-Aqsa.
“Kami akan berusaha agar lebih ramai selebriti tanah air terbabit dalam kempen membela dan melindungi Masjid Al-Aqsa.
“Adalah menjadi kewajipan semua selebriti menggunakan pengaruh mereka supaya isu pencerobohan zionis Israel terhadap Masjid Al Aqsa diberi perhatian.
“Jaringan selebriti akan diperluaskan bagi mengukuhkan solidariti para seniman antarabangsa kepada perjuangan Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Ikatan Selebriti Pencinta Al-Aqsa (KACA).
KACA bertujuan untuk melibatkan para seniman dan selebriti tanah air untuk bersama menyokong perjuangan mempertahankan kesuciann Masjid Al-Aqsa yang kini diceroboh oleh zionis Israel.
Turut hadir pada majlis ini, kumpulan nasyid Rabbani, Daqmie dan pengacara majlis Nizal Mohamad.
Misi menyelamatkan Al Quds bermula di Malaysia sebagaimana dimaklumkan Jabatan Awquf Aqsa kepada Sekretariat Wakaf dan Infaq Aqsa (WIA) MAPIM untuk menguruskan Kompleks Masjidil Aqsa.
MAPIM mengajak rakyat bersama menjaga tempat ketiga suci bagi umat Islam itu yang berterusan diserang rejim Zionis sejak 1948 kerana mahu menakluki kawasan kompleks berkeluasan 144,000 meter persegi itu sehingga hari ini.
Keadaan itu membangkitkan rasa marah umat Islam dari seluruh dunia kerana bukan saja kawasan sekitar yang asalnya milik penduduk Palestin dirampas setiap hari tanpa gagal, kawasan yang menempatkan Masjid Kubah As Sakhra di mana Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit seperti tercatat di dalam peristiwa Israk dan Mikraj turut ‘dicabul’ Zionis.
Meliputi penyelenggaraan, utiliti, pentadbiran, baik pulih, rehabilitasi, kemudahan awam, pendidikan dan perpustakaan, objektifnya adalah untuk mengumpul RM6,300 (AS$1,500) atau RM6.3 juta untuk setiap meter persegi bagi 1,000 yang ditawarkan untuk Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan konsert KACA enam bulan dari sekarang.
“Ia dalam perancangan agar program KACA ini diperluas ke seluruh peringkat rakyat,” katanya.