Oleh Tun Puteh Wanti
CHERAS : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) mengagihkan 40,000 ekor ayam diagihkan kepada 20,000 penerima asnaf seluruh Kuala Lumpur.
Setiap asnaf daripada 20 Projek Perumahan Rakyat (PPR) wilayah ini menerima dua ekor ayam bernilai RM37.50 dengan nilai keseluruhan hampir RM800,000.
MAIWP dibawah payung PRIHATIN turut mengagihkan RM192,500 nilai baju Melayu dan baju kurung kepada 2,500 penerima yang terdiri daripada anak sindrom down, penunggang e-hailing, penghantar makanan, pemandu teksi dan ibu tunggal.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, PRIHATIN turut menyumbangkan kain samping, tudung Siti Khadijah bagi membantu golongan asnaf dan B40 sempena menyambut Aidilfitri.
“Agihan ini tidak sempurna tetapi bermakna, dan kami harap agihan masa akan datang lebih menyeluruh dengan peruntukan yang lebih besar.
“Agihan ayam segar ini dilakukan dengan kerjasama Persatuan Prihatin Anak-anak Selangor/Kuala Lumpur.
“MAIWP turut memperuntukkan RM300 untuk bantuan Ramadan manakala RM500 untuk Syawal kepada 30,000 asnaf yang disenaraikan,” katanya pada sidang media pada Majlis Sumbangan Ayam Segar Baju Melayu dan Baju Kurung Raya Prihatin kepada golongan asnaf dan B40.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, Datuk Mohd Ajib Bin Ismail (Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), Mohd Nizam Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP), Datuk Abdul Malik Abdullah (Penasihat Ekonomi dan Antarabangsa PRIHATIN), Mahadi Sukarno (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP) dan Ahmad Talmizi Yahaya (Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP).
Tambah Aizuddin, menerusi sumbangan ini, kami turut dapat membantu para pengusaha ayam, pembekal pakaian untuk menjana pendapatan mereka selain membantu asnaf mendapat keperluan mereka.
“PRIHATIN melihat hasil hubungan strategik ini mampu diperkasa melalui program-program yang akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun badan pertubuhan bukan kerajaan.
“Dengan kolaborasi strategik bersama MAIWP ini, PRIHATIN menyasarkan lebih banyak program yang boleh dilaksanakan dengan MAIWP dalam masa sama boleh membantu dan meringankan beban warga asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.