Oleh: Fhatihah Zakinan
PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangguhkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang diwartakan pada 4 Julai kepada 1 Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu
dibuat selepas kementerian menerima banyak maklum balas termasuklah keresahan pengguna.
“Penangguhan ini (perintah) dibuat selepas mengambil kira maklum balas dari umum.
“Justeru, kita telah berbincang petang ini untuk memberi peluang kepada industri dan pengguna bagi membuat penyesuaian, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama industri sempena pewartaan dan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik dekat sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Alexander berkata, SIRIM QAS International Sdn Bhd memberikan jaminan akan mengenakan caj rendah kepada pengimport dan pengilang pelitup muka bukan perubatan patuh piawaian pada kotak dan bungkusan.
“Pengguna fikir mungkin berlaku kenaikan harga pelitup muka namun caj rendah akan dikenakan pada pengimport dan pengilang,” katanya.
Beliau berkata, pelitup muka yang berasaskan fabrik juga dalam kategori yang sama dan perlu mendapat pengesahan dari SIRIM.
Sementara itu, rakyat masih keliru isu pelitup muka individu berkenaan.
Kenyataan KPDNHEP membangkitkan kemarahan dalam kalangan netizen di akaun laman sosial berhubung denda terhadap individu dan syarikat berkaitan pelitup muka bukan perubatan yang gagal patuh piawaian itu, mulai semalam.
Ada kalangan netizen meninggalkan komen mempersoal, bagaimana tindakan terhadap pembeli yang membeli pelitup muka terus dari luar, menerusi akaun Shopee atau Lazada, untuk kegunaan sendiri.
“Saya beli mask (pelitup muka) melalui Shopee dan Lazada untuk kegunaan saya sendiri, kebanyakannya adalah dibekalkan dari China maka adakah saya dikira sebagai PENGIMPORT INDIVIDU dan akan didenda RM100,000.00 kerana masks tersebut dihantar dari China dan saya tidak mendapatkan tanda SIRIM?,” soal pengguna Facebook, Mat Kamil Awang yang berkongsi sumber grafik daripada KPDNHEP.
Ada juga yang terpaksa menggunakan semua pelitup muka bukan perubatan tanpa cop SIRIM sebelum 4 Julai kerana bimbang dikenakan tindakan individu.
“Kerajaan bakal mengenakan denda RM100,000 kalau kita pakai pelitup muka tanpa cop SIRIM. Apa pilihan yang ada sekarang?” ciap seorang pengguna Twitter dengan jumlah pengikutnya seramai 21.3K.
Bagaimana pula, individu yang belum mempunyai syarikat kerana menjalankan jualan pelitup muka tanpa perubatan secara kecil-kecilan, adakah boleh didenda juga?
KPDNHEP terdahulu menjelaskan, perkataan ‘individu’ merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan adalah orang perseorangan yang menjual pelitup muka bukan perubatan, bukan pemakainya.
Pihak kementerian tidak akan mengambil tindakan terhadap pemakai yang memakai pelitup muka bukan perubatan seperti yang didakwa netizen di laman sosial.
Kenyataan ‘individu’ itu merujuk tindakan jika gagal berbuat demikian, individu boleh berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, mana-mana syarikat gagal mematuhi perintah itu bakal dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala kesalahan kali.kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.