Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3) selewat-lewatnya pada Julai depan.
Projek MRT3 berkenaan akan menghubungkan laluan MRT1 dan MRT2 di sekitar Lembah Klang, yang sebelum ini digantung oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Pelan awal MRT3 merangkumi laluan sepanjang lebih 50 kilometer (km) membabitkan 30 stesen, di mana 10 daripadanya ialah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter dengan tempoh pelaksanaan bermula tahun 2022 dan tamat 2030.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau percaya projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkenaan bakal menjadi kenyataan, justeru mengutamakan permulaan projek dengan mempercepatkan pelaksanaannya dalam masa terdekat.
“Kalau ikutkan MRT Corp (pelaksana), projek MRT2 akan dilaksanakan pada Jun, MRT3 pula akan dilancarkan pada Jun atau Julai.
“Tapi, saya minta ia (MRT3) dipercepatkan supaya kita mahu rakyat membudayakan pemikiran menggunakan pengangkutan awam bagi memastikan bandaraya Kuala Lumpur bersih daripada karbon dalam matlamat jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan MRT Corp diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim, di sini, hari ini.
Terdahulu, Shahidan dalam ucapannya berkata DBKL memfokuskan pembangunan transit yang akan menjadi pemangkin kepada peningkatan mobiliti serta menggalakkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
Katanya, pembangunan transit yang bertunjangkaan rangkaian rel seperti MRT adalah kritikal bagi menggalak penggunaan pengangkutan awam.
“Oleh itu, perkara penting agar kebergantungan kepada kenderaan persendirian dapat dikurangkan dan membawa kepada pengurangan jejak karbon sejajar dengan matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya neutral karbon,” katanya.
Beliau berkata, perancangan itu adalah seperti yang digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
“Saya yakin MoU ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bandar raya Kuala Lumpur yang sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya saing dan lestari.
“Saya juga berharap agar MoU ini mampu mengalakkan lebih banyak agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk berganding bahu demi membangunkan bandar raya Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar Untuk Semua’,” katanya.
Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan mengumumkan kerajaan meluluskan pembinaan projek MRT3 yang sebelum ini digantung PH.
Ismail dilaporkan berkata, pelaksanaan projek itu akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, selaras dengan objektif kerajaan untuk memperkasa sektor perniagaan serta mewujudkan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.
Tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata projek MRT3 telah mendapat kebenaran oleh kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri.
