Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUALA LUMPUR: Bakal berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jurubank Goldman Sachs, Roger Ng telah didapati bersalah dengan disabitkan atas tiga pertuduhan dalam kes skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Bhd.
Mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York memutuskan selepas lapan minggu perbicaraan atas Ng dalam ketiga-tiga pertuduhan iaitu bersubahat untuk melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat (AS) dan bersubahat untuk mencuci wang.
Keputusan itu dibuat setelah pengakuan mengejutkan daripada mantan ketua Ng, Tim Leissner yang mengaku bersalah serta merupakan saksi utama terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc berkenaan.
Namun begitu, menurut laporan Bloomberg dalang yang didakwa Jho Low, yang dikatakan AS merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan untuk Goldman – dan j’ackpot’ AS$1.42bil untuk dirinya sendiri – masih bebas.
Leissner, yang pernah menjadi pengerusi Goldman Asia Tenggara, adalah pegawai bank Goldman berpangkat tertinggi yang mengaku bersalah terhadap skim mencuri daripada 1MDB sebagai balasan lebih daripada AS$60 juta dalam bentuk sogokan sementara Ng pula bekas ketua perbankan pelaburan firma itu di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, laporan Bloomberg turut menyatakan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menurut pendakwa raya mengaut AS$756 juta, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan tuduhan rasuah di Malaysia.
Selain itu, Leissner memberitahu juri dia mencipta akaun e-mel palsu bertujuan untuk menyamar sebagai isterinya berkomunikasi dengan teman wanitanya, membeli perempuan simpanannya rumah AS$10 juta di London selepas dia mengancam untuk mendedahkan penipuan 1MDB.
Dengan memanggil 26 saksi, mahkamah berhujah bahawa Ng dan Leissner menyembunyikan penipuan daripada pihak atasan mereka di Goldman, yang memperoleh lebih daripada AS$600 juta dalam mengatur tiga perjanjian bon 1MDB pada 2012 dan 2013.
Goldman membayar Leissner sekurang-kurangnya AS$12 juta, manakala Ng mendapat AS$3 juta selepas dua daripada urus niaga bon ditutup, kata kerajaan.
Namun begitu, Bloomberg turut mendedahkan Ng telah memadam akaun e-mel yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan Low tidak lama selepas siasatan ke atas 1MDB dilancarkan di Malaysia dan Singapura.
Manakala Leissner yang mengaku bersalah pada 2018, menghabiskan 10 hari di kandang saksi, lebih daripada lima daripada mereka di bawah pemeriksaan balas oleh peguam bela Marc Agnifilo, yang menggelarnya sebagai ‘pembohong yang licik’.