Oleh ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Pada 1987, tokoh wanita popular dunia, Puteri Diana melakukan tindakan berani dengan berjabat tangan dan memeluk 10 pesakit HIV dan AIDS tanpa sarung tangan.
Sikap terpujinya untuk membuang stigma dan diskriminasi masyarakat bahawa HIV hanya berjangkit melalui darah bukan sentuhan masih diingati dunia walaupun sosok terbilang itu sudah meninggal dunia akibat kemalangan tragik.
Langkah murni Puteri Diana ternyata tidak henti di situ, Teratak Kasih Tok Nan di Kuching Sarawak kini membuka pintu untuk pesakit kategori lain untuk menumpang berteduh selain Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV).
Hasrat demikian kata Patron Teratak Kasih Tok Nan Datuk Amar Jamilah Anu bertujuan untuk membantu pesakit dari luar bandar yang datang ke kuching untuk mendapatkan rawatan di hospital di sini.
“Bukan hanya HIV dan AIDS boleh menginap di Teratak ini kerana Teratak ini menerima sesiapa sahaja yang datang untuk menumpang bermalam,” katanya kepada Wacanakini.com semalam.
Beliau akui ada dalam kalangan pesakit kronik yang lain datangnya dari luar bandar serta tidak berkemampuan oleh yang demikian Teratak Kasih Tok Nan mengambil inisiatif untuk membantu mereka juga selain menjadi pusat sehenti PLHIV.
“Kami mahu mereka (pesakit) yang datang dari kampung atau dari luar bandar ada tempat selesa untuk menginap dan bermalam kerana tidak semua mereka cukup perbelanjaan…sekiranya menginap di sini (Teratak) pasti membantu mereka menjimatkan kos,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Teratak Kasih Tok Nan turut menyediakan subsidi perjalanan kepada para pesakit dari kediaman hingga selamat tiba di hospital dan seterusnya kembali ke rumah masing-masing.
“Sebagai contoh hari ini ada pesakit dari Asajaya, kita bantu dari rumah di Asajaya hingga Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kembali ke rumahnya semula…semua kos perjalanan kita tanggung memandangkan pesakit ini tidak menginap di Teratak,” jelasnya.
Menurut beliau, Teratak Kasih Tok Nan kini menerima sumbangan daripada Sunway Cheers yang membolehkan pihaknya membantu lebih ramai pesakit kronik selain PLHIV.
“Di sini (Teratak) turut menyediakan sokongan psikologi kepada para pesakit yang singgah dengan tujuan mereka tidak rasa terasing ataupun tertekan keadaan diri yang tidak sihat,” ujarnya.
Direkodkan Teratak Kasih Tok Nan yang beoperasi memasuki tahun kelima sejak 2017 kini memiliki seramai 173 pesakit HIV berdaftar di seluruh negeri.