Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Bank koperasi, Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan had baharu maksimum bagi skim pembiayaan peribadi, sehingga RM400,000 sebagai memenuhi permintaan pelanggannya.
Ketika ini, CBP mempunyai tiga Pembiayaan Peribadi-i iaitu Pembiayaan Peribadi-i Al-Yaseer, Pembiayaan Peribadi-i Lestari dan Pembiayaan Peribadi-i Profesional.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata, had pembiayaan baharu itu hanya terbuka bagi produk Pembiayaan Peribadi-i Al Yaseer sahaja.
Beliau yakin, menerusi had baharu Pembiayaan Peribadi-i Al-Yaseer itu, ia mampu menarik pasaran pelanggan baharu berpendapatan lebih tinggi yang memerlukan pinjaman peribadi lebih besar.
Malah katanya, ia juga sebagai satu kaedah untuk mengekalkan pelanggan sedia ada.
“Pembaharuan ini juga salah satu aktiviti penjenamaan untuk meletakkan CBP seiring dengan pesaing di pasaran, di samping memberi kemudahan kepada pelanggan untuk menyatukan komitmen di CBP.
“Pihak CBP berharap ianya dapat meningkatkan lagi portfolio perniagaan dengan pemfokusan segmen pelanggan, malah mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata, bagi Pembiayaan Peribadi-i Lestari dan Pembiayaan Peribadi-i Profesional pula, kedua-duanya skim pembiayaan itu masih menawarkan kadar keuntungan tetap.
Kedua-dua pembiayaan peribadi berkenaan menawarkan had pembiayaan sehingga RM200,000.
Untuk rekod, selain pembiayaan peribadi, CBP juga menawarkan pembiayaan patuh syariah lain seperti perumahan, hartanah, koperasi dan korporat, Ar-Rahnu dan penulisan wasiat.