Oleh Tun Puteh Wanti
PANTAI DALAM : Ketika umat Islam masih berpuasa dan rata-rata sedang membeli belah untuk persiapan akhir menyambut Aidilfitri, namun ada segelintir individu sanggup korbankan masa mereka untuk membantu yang lain.
150 individu dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan menahan lapar dan dahaga di bawah bahang panas mentari bergotong-royong membersihkan Kuala Lumpur dan mencari punca banjir kilat.
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Azmi Abdul Hamid turut hadir ke program ini.
Program bermula jam 9 pagi di mana agihan peralatan gotong royong seperti pencakar sampah, kayu panjang, sarung tangan dan plastik sampah kepada petugas dan petugas dipecahkan ke lokasi yang telah ditetapkan.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapha Kamal Yusof berkata, mereka yang terbabit adalah mewakili 11 Parlimen di Kuala Lumpur, atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan berkaitan isu banjir kilat yang melanda.
“Tumpuan program adalah di Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields.
“Melalui program ini juga, petugas akan diberikan borang bagi menyemak punca scupper drain tersumbat bagi mengelakkan banjir kilat di kemudian hari,,” katanya kepada Wacanakini.com.
Tambahnya, mereka membuang sampah sarap, plastik dan lain-lain tersumbat di longkang-longkang yang menjadi punca laluan air tersekat dab banjir kilat berlaku.
“Bagaimanapun di peringkat YB Menteri, usaha sukarelawan ini diharap lebih berkembang ke semua 11 Parlimen.
“Jika satu Parlimen ada 200 sukarelawan yang boleh turun membantu pada bila-bila masa, saya rasa bukan sahaja isu banjir malah isu-isu lain di Wilayah Persekutuan ini,” katanya.