Oleh Fhatihah Zakinan
GENEVA: Seperti lalang ditiup angin, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) seperti tiada pendirian tetap berhubung keputusan suntikan penggalak COVID-19.
Ia berikutan, WHO mengesyorkan semula suntikan penggalak COVID-19 secara meluas berbanding keputusan asal bahawa dos ketiga itu tidak diperlukan bagi individu sihat dan ia menyumbang ketidaksamaan vaksin, tahun lalu.
WHO dalam kenyataan berkata, sekumpulan pakar merumuskan tahap imunisasi dengan vaksin COVID-19 yang diiktiraf memberikan perlindungan lebih tinggi terhadap serangan penyakit berbahaya dan ancaman kematian.
Keputusan itu dicapai oleh kumpulan penasihat terdiri daripada 18 ahli yang memfokuskan impak ‘varian yang menjadi kebimbangan’ global.
WHO akhirnya menegaskan kepentingan dan capaian lebih meluas suntikan dos penggalak COVID-19 ketika varian Omicron semakin merebak di seluruh dunia
Januari lalu, WHO memaklumkan dos penggalak disyorkan apabila sesebuah negara mempunyai bekalan mencukupi dan selepas melindungi individu paling berisiko.
Jelasnya, dos penggalak dan vaksinasi amat penting bagi individu yang terdedah mendapat penyakit lebih teruk.
Banyak kajian saintifik membuktikan dos penggalak membantu memulihkan imuniti yang semakin berkurangan dan melindungi daripada jangkitan COVID-19 yang serius.
Pelaksanaan dos penggalak di negara maju seperti Britain, Kanada dan AS berjaya menghalang lonjakan jangkitan Omicron daripada merebak lebih teruk.
WHO berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan penyebaran global Omicron, termasuk versi ‘senyap’ yang dikenali sebagai BA.2 yang sudah menjangkiti di beberapa negara.- AP