Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Keputusan untuk mengumumkan kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Khas (KWSP) sudah dirancang lebih awal namun Perdana Menteri terpaksa menangguhkannya berikutan muncul ‘hero’ secara tiba-tiba menuntut kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk meluluskan pengeluaran KWSP sudah pun dicapai lebih awal.
Bagaimanapun, beliau perlu menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya dan turut mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak cuba menangguk di air keruh.
Naib Presiden UMNO itu berkata, perancangan awalnya adalah untuk mengumumkannya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini, namun hasratnya terbatal, sehubungan semua orang mahu menjadi “hero” KWSP secara tiba-tiba.
“Ramai yang bertanyakan kepada saya kenapa (umum) lewat?.
“Sebelum hari penamaan calon di PRN Johor, saya telah berbincang dengan Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan memaklumkan kepadanya yang saya akan mengumumkan tentang KWSP, dengan pengeluaran caruman sebanyak RM10,000.
“Ketua Pembangkang umum, DAP pun umum, pelbagai pihak yang mengumumkannya. Jadi, saya perlu mengatakan, kalau kita umumkan selepas bercakap, tentu sahaja mereka akan claim credit (tuntut kredit) ke atas apa yang kita lakukan,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara, pada Sabtu.
Justeru, katanya, adalah lebih wajar perkara berkenaan diumumkan dalam tempoh hampir dengan penganjuran PAU2021.
Jelasnya, rakyat perlu tahu dan memahami bahawa perkara membabitkan KWSP itu adalah agenda perjuangan oleh parti UMNO.
Katanya, pengumuman itu juga bagi meraikan kemenangan besar yang telah dicatatkan oleh BN dan juga UMNO dalam PRN Johor pada 12 Mac lalu.
Sementara itu, Ismail Sabri menyeru seluruh Keluarga UMNO supaya merapatkan saf dan jangan sesekali membenarkan mana-mana anasir mengganggu-gugat keharmonian parti ketika ini.
Beliau berkata, jika parti memiliki kekuatan yang teguh, ia membolehkan segala halangan dapat diatasi dengan sebaiknya.