Oleh Nurman Nasyriq
PASIR GUDANG – Kecederaan dialami calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Zahiruddin Zulkarnain, 18, akibat kemalangan motosikal petang semalam tidak menghalangnya menduduki peperiksaan tersebut yang bermula hari ini.
Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Masai 2, nekad mengambil peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 kerana amat penting dan jika terlepas akan gagal dalam SPM.
“Saya membuat keputusan untuk menduduki kedua-dua kertas itu terlebih dahulu sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital hari ini.
“Saya tidak mahu gagal atau terpaksa mengulangi kertas peperiksaan ini. Jadi, walaupun berada dalam kesakitan sehingga tidak boleh duduk terlalu lama, saya nekad untuk menduduki kertas ini.
“Walaupun perlu berhenti sekali sekala untuk baring dan berehat, saya tidak kisah kerana semua persiapan untuk menjawab kertas peperiksaan ini sudah dibuat,” katanya Ketika ditemui selepas menduduki Bahasa Melayu Kertas 1 di SMK Taman Kota Masai 2, di sini.
Zahiruddin menganggap itu ujian kecil dan berharap akan segera pulih untuk terus menduduki peperiksaan SPM bersama-sama rakan lain.
Dia yang menetap di Taman Kota Masai memberitahu, kemalangan itu berlaku jam 6.40 petang semalam ketika menunggang motosikal menuju ke Stulang untuk bertemu saudaranya.
Ketika dalam perjalanan di Lebuh Raya EDL menghala ke pusat bandar raya Johor Bahru, motosikalnya dihimpit sebuah kereta dan sebuah lori.
“Cuaca ketika itu hujan dan saya berada di tengah-tengah antara sebuah kereta dan sebuah lori yang seakan-akan menghimpit saya menyebabkan saya brek mengejut sebelum terjatuh,” katanya.
Dia mendakwa hampir digilis tayar lori, namun sempat mengelak dan kemalangan itu mengakibatkan luka di beberapa bahagian badan dan sakit di bahagian pinggang.
Dia berharap kesihatannya segera pulih dan tiada kecederaan serius supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SPM, sekali gus dapat menyambung pengajian dalam bidang automotive yang amat diminatinya.