KUALA LUMPUR : Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Datuk Norasyikin Abdul Ghani menyelar perbuatan seorang pensyarah wanita mengeluarkan perkataan menghina pelajar sebagai golongan B40 yang tidak mampu beli komputer riba.
Norasyikin berkata, rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat tular sejak semalam walaupun kejadian itu berlaku pada semester lalu bukan menjadi satu isu.
“Isunya di sini seorang pendidik yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik tidak bertindak sepatutnya.
“Nak mengajar, nak menegur ada adabnya bukan sehingga menghina atau menjatuhkan maruah seseorang walaupun individu terbaik levelnya bawah kita.
“Lupa ke kesopanan dan ketatasusilaan itu rukun negara kita, walau tinggi mana ilmu, adat dan adab inilah menunjukkan sikap peribadi kita,” katanya kepada Wacanakini.com.
Menerusi video itu, profesor yang dilihat sedang mengajar secara atas talian bertanyakan soalan kepada pelajar dan seorang pelajar kemudiannya menjawab.
Namun jawapan yang diberikan itu tidak tepat sehinggakan pensyarah bertanya apakah peranti yang digunakan oleh pelajar terbabit.
Jawab pelajar yang berasal dari Seremban itu, dia tidak memiliki komputer riba dan hanya menggunakan telefon pintar bagi mengikuti kelas itu. Berdasarkan klip itu, pelajar terbabit difahamkan sudah berada di semester lima, namun tidak memiliki laptop.
Lalu, ia mengundang pertanyaan kasar daripada profesor berkenaan latar belakang pekerjaan ibu, ayah dan juga adik-beradik pelajar tersebut.
Satu-persatu jawapan diberikan olehnya; dia menyatakan ibunya sudah tiada manakala ayahnya pula tidak bekerja serta dia memiliki adik-beradik lain.
Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Sebab itu kau tidak boleh belajar dengan baik sebab engkau tidak ada komputer.
“Lepas ni akan ajar engkau excel, pasal itu engkau akan jadi drop out student. Semester lima engkau tak ada komputer. Aku sanggup aku tak ada pakaian, aku ada lima helai sahaja pakaian, the most important.. the computer is very, very important for me.
“Hanya RM800 sahaja beli komputer, apa masalah kau. Pasal itu aku tak boleh duduk orang dengan B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” ucap pensyarah tersebut sebelum menyuruh seluruh kelas menutup fungsi kamera.
Insiden tersebut telah mengundang reaksi amarah warganet mengenai cara pensyarah menyoal dan mengherdik pelajar dengan kasar sehingga menimbulkan ketidakselesaan.