JOHOR BHARU – Sujud syukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT.
“Sujud syukur, kita tak perlukan wuduk, sujud syukur di mana-mana kita berada bahawa kita bersyukur ke hadrat Allah SWT.
“Yang telah memberi kepada kita, Barisan Nasional sebuah parti yang menjamin kesinambungan pembangunan Bangsa Johor, rakyat Johor,” katanya kepada Wacanakini.com.
Tambah beliau, kejayaan di Johor akan menjurus kepada pilihan raya Parlimen nanti.
“Orang Johor telah membuktikan bahawa semua jangkaan kita meleset seperti yang pernah berlaku di Tanjung Piai.
“Tanjung Piai kita jangka menang 6,000, kumpulan saya kata menang 12,000, tetapi kita menang 15,000.
“Di Melaka jangkaan kita hanya 16 atau 17 kerusi. Kita menang 22 kerusi.
“Di Johor jangkaan kita menang dengan izin Allah kita menang 40 kerusi. kita melepasi dua pertiga majoriti.
“Saya terharu dengan kehebatan orang Johor. Orang Johor telah buat keputusan yang terbaik bahawa mereka mahu kerajaan kuat dan stabil dengan menyokong mengundi BN.
“Kepada Tenggara, kawasan yang tidak pernah kalah daripada dahulu sehingga sekarang tidak pernah kalah.
“Sekarang telah dibuktikan bukan sahaja menang, tetapi menang dengan majoriti meningkat, peti undi yang kita kalah dahulu kini kita menang,” katanya.