KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim merasmikan lintasan pejalan kaki di persimpangan utama segitiga emas di cawangan McDonald’s pertama dibuka di Malaysia pada 1982.
Beliau berkata, McDonald’s Fries Crossing menjadi tarikan pelancong sekali gus membantu menambah membuka peluang pekerjaan meluas buat rakyat Malaysia.
“Di kesempatan ini, suka saya mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-40 buat McDonald’s Malaysia. Hari ini kita menyaksikan satu lagi tarikan di Kuala Lumpur iaitu McDonald’s Fries Crossing iaitu lintasan pejalan kaki di persimpangan utama segitiga emas ini.
“Lebih nostalgik, McDonald’s Bukit Bintang ini merupakan McDonald’s pertama dibuka di Malaysia pada 1982,” kata Shahidan.
Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur amat mengalu-alukan jalinan kerjasama ini.
Shahidan berkata, inisiatif memperindah dan menambah nilai lintasan pejalan kaki ini adalah satu pembangunan fizikal yang sangat bertepatan dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur ‘Bandaraya Sejahtera Menjelang 2030.
“Cetusan idea bersama ini memberi banyak manfaat dan wajar dibanggakan. Besar harapan saya agar lebih banyak pihak tampil ke hadapan bagi menyokong kementerian dalam meningkatkan program-program pembangunan fizikal, sosio-ekonomi dan perkhidmatan perbandaran, di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
“Saya berharap, McDonald’s Fries Crossing ini akan menjadi satu lagi lokasi wajib singgah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali datang ke Kuala Lumpur. Jangan lupa singgah makan di McDonald’s Bukit Bintang misalnya, bersiar-siar dan membeli-belah di kawasan ini.” katanya.
Beliau berkata, McDonald’s Malaysia mensasarkan pembukaan 500 restoran di seluruh negara menjelang 2026.