KUALA LUMPUR : Prihatin akan bencana yang menimpa penjaja di pasar Dato Keramat, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membuat lawatan mengejut petang tadi.
Shahidan melawat dan melihat sendiri kerosakkan yang dialami oleh empat buah kedai di Pasar Keramat, sekali gus duduk berbincang bagi mendalami ke akar umbi permasalahan yang dihadapi oleh para penjaja.

“Saya berkesempatan melawat empat buah kedai di Pasar Keramat yang terbakar, ditemani oleh Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Presiden Penjaja Kecil Malaysia.
“Selain melihat kerosakkan, saya turut menggunakan kesempatan yang ada untuk berbincang masalah yang dialami oleh peniaga-peniaga kecil sekitar ibu kota,” katanya menerusi paparan di laman Facebook miliknya.

Tinjauan di pasar itu mendapati peniaga yang terjejas akibat kebakaran sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di premis masing-masing.
Lebih 40 kedai di Pasar Datuk Keramat terbakar namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pada 17 Mac lalu.

Sementara itu, Shahidan turut sempat melawat tapak di sekitar Jalan Raja Bot menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Selesai perbincangan mengenai isu kebakaran dan penjaja-penjaja kecil, saya melawat ke Jalan Raja Bot bagi memerhatikan persiapan menjelang puasa akan datang,” kata Shahidan.