KUALA LUMPUR : Ketua Persatuan Penjaja Wilayah Persekutuan, Mohamad Abdullah menegaskan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim banyak membantu masyarakat dan penjaja sehingga peringkat akar umbi.
Mohamad berkata, Shahidan mempunyai semangat yang cukup tinggi dari segi infra, masyarakat serta usahawan muda di peringkat Wilayah Persekutuan.
“Saya melihat kehadiran Menteri Wilayah dahulu dan sekarang, memang banyak membantu masyarakat penjaja. Menyelami masalah-masalah penjaja sehingga ke peringkat akar umbi.
“Yang Berhormat turun sendiri ke lapangan bagi melihat dan menyelesaikan sendiri dengan cara yang cukup cepat. Ini sekali gus membuka dan menawarkan peluang pekerjaan kepada orang-orang muda.
“Kita sangat bertuah kepada mempunyai Menteri Wilayah yang sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang masalah-masalah penjaja.
“Contohnya isu yang timbul di Pasar Keramat, Pasar Chow Kit dan banyak lagi. Dalam pada itu, beliau turut menawarkan kiosk dan lesen perniagaan secara percuma sehingga Jun,” katanya kepada WacanaKini.com
Terdahulu, Shahidan turut menyuarakan hasrat untuk membantu para Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan supaya berkecimpung lebih aktif dalam bidang perniagaan.
Shahidan berkata, pihak kementerian juga telah membantu peniaga di Wilayah dan seluruh Malaysia dengan memberikan lesen percuma sepanjang Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) dan kembali disambung pada Jun hadapan.
Sekitar Disember lalu, Shahidan memaklumkan bantuan bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di bawah skim tersebut memandangkan negara masih berdepan ancaman COVID-19 dan cabaran ekonomi.