Makanan bukan lagi satu-satunya keperluan asas utama rakyat, malah peredaran masa menyaksikan tanpa gajet dan akses, ada kes mati kebuluran di dalam rumah ketika kuarantin Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) fasa pertama tahun 2020.
Ia dikatakan berlaku kerana ketidakupayaanya untuk berhubung dengan orang di luar rumahnya, dan begitulah sebaliknya.
Malah tanpa capaian internet yang baik, ramai rakyat ketika itu sukar untuk membuat permohonan secara atas talian bantuan kewangan yang ditawarkan kerajaan.
Bunyinya menarik, banyak bantuan yang disalurkan daripada kerajaan, namun realitinya masih ramai yang tidak memiliki internet dan jika ada internet pun, capaian amat lemah sehingga ramai yang layak putus asa daripada meneruskan permohonan.
Menyusahkan kata mereka.
Untuk rekod, internet di negara ini bermula tahun 1995, sejajar pertumbuhan syarikat enjin carian dan portal web negara juga pada tahun sama.
Mengikut kajian MIMOS dan Beta Interactive Services pada 1995, satu daripada setiap ribu rakyat Malaysia mempunyai akses ke Internet (20,000 pengguna Internet daripada penduduk 20 juta) ketika itu.
Pada tahun 2005, Bengkel Dasar Awam Kebangsaan (NPPW) mencadangkan satu strategi untuk meningkatkan pengambilan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan Internet.
Antara hasil NPPW adalah inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi yang dilancarkan pada tahun 2010, selepas itu bermulalah penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, disusuli Instagram dan kini TikTok.
Sehingga tahun 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia merekodkan negara ini memiliki 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada rakyat keseluruhan.
Dengan peningkatan pengguna media sosial ini, kita boleh dengar lambakan keluhan rakyat mengenai capaian internet yang lemah dari merata-rata tempat, bukan sahaja di luar bandar malah lebih mengejutkan rungutan penduduk di Cyberjaya.
Purata kelajuan muat turun bagi internet mudah alih, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.
Bayangkan dalam negara yang gah dengan kemajuan penduduk Bukit Selambau, Sungai Petani terpaksa memacak ‘menara telco’ sendiri dari buluh dan meletakkan modem tanpa wayar di puncaknya bagi mendapatkan capaian internet.
Jangan terkejut jika ada yang terpaksa memanjat pokok, membina menara komunikasi sendiri atau bertenggek di tengah jalan semata-mata untuk mencari isyarat yang lebih baik.
Cabaran dalam pendidikan pula semakin menjadi-jadi ketika pandemik COVID-19 di mana selama hampir dua tahun sekolah ditutup dan pembelajaran bergantung sepenuhnya kepada internet.
Ramai ibu bapa mengeluh melihat keputusan buruk diterima anak-anak dalam peperiksaan berpunca dari kelemahan liputan internet.
Lebih menyedihkan ada pelajar bidang kejuruteraan yang datang dari keluarga miskin telah menerima surat amaran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana keputusan peperiksaan di bawah 2.0 agregat, berhadapan kemungkinan pinjaman pendidikannya ditarik.
Usai dikata semua lokasi itu luar bandar, penulis sendiri yang menetap di Flat Taman Dato Ahmad Razali, Ampang Selangor, sebuah bandar besar turut gagal mendapat akses bagi talian Celcom, Maxis, Digi, UMobile atau Telekom Malaysia.
Sudah pelbagai telco penulis cuba tetapi hasilnya tetap sama, mengecewakan.
Dalam dunia hari ini yang 90 peratus bergantung kepada capaian internet, ibarat keperluan asas manusia kerajaan perlu memastikan kemudahan jalur lebar ini tidak terbantut.
Tanpa capaian internet yang baik, urusan harian seperti pendidikan dan pekerjaan akan terjejas dan ia memberi kesan yang lain seperti masa depan pelajar dan juga pendapatan rakyat.
Menurut artikel WacanaKini.com sebelum ini, satu kajian baharu penyelidik di Universiti McGill di Kanada merekodkan Malaysia menduduki ranking ketiga selepas China dan Saudi Arabia mempunyai masalah ketagihan telefon pintar paling teruk di dunia.
Kajian meta-analisis tingkah laku itu dibuat terhadap kira-kira 34,000 subjek dalam kalangan pengguna di 24 negara di seluruh dunia antara 2014 dan 2020.
Maka, bukti penyelidikan itu menunjukkan amatlah penting bagi setiap mereka yang memiliki sama ada telefon pintar, komputer riba atau segala jenis gajet yang memerlukan akses internet berkelajuan tahap tertinggi.
Sehubungan itu, negara memerlukan penyelesaian segera agar pertumbuhan ekonomi dan masa depan rakyat tidak terbantut atau tertinggal jauh dari negara-negara lain.
Capaian internet 3G atau 4G ketika ini dipasang menggunakan fiber.
Capaian internet melalui satelit sepatutnya menjadi pilihan pemasangan di kawasan yang tiada liputan.
Kawasan tanpa liputan ini berlaku kerana pemasangan fiber tidak boleh dilakukan atas beberapa faktor seperti demografik dan lain-lain.
Capaian internet berkelajuan tinggi melalui satelit juga menawarkan kelajuan internet yang lebih baik malah 50 peratus lebih murah berbanding caj khidmat jalur lebar sejak lima tahun lalu.
Rangkaian 5G ini pula sepatutnya sudah lama ada di negara kita yang mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi dan mahu berdiri sama tinggi dengan negara-negara ekonomi Harimau Asia seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan.
Keempat-empat negara ini sudah mempunyai rangkaian dan pengguna 5G secara langsung.
Pada tahun 2018, syarikat telekomunikasi tempatan, Lautan Variasi Sdn. Bhd. (Lautan Variasi) telah meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan internet jalur lebar berteknologi satelit bagi memperluaskan capaian internet di sekolah-sekolah melalui program 1BestariNet.
Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer berkata, penggunaan satelit atau sistem Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang disediakan syarikatnya mampu menyelesaikan masalah kawasan tanpa liputan.
Sebagai syarikat tunggal di Asia dan ketujuh di dunia yang menawarkan perkhidmatan internet jalur lebar berteraskan teknologi satelit.
Keberkesanan teknologi ini telah terbukti melalui dua projek Pembuktian Konsep (POC) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Putra, Sepang dan Sekolah Kebangsaan Baleh, di Sarawak pada tahun 2017.
Datuk Syed berkata, semasa pelaksanaan POC selama seminggu di SK Desa Putra, pihaknya menerima maklum balas positif daripada guru-guru dan pelajar apabila kesemua komputer di makmal sekolah itu berjaya menerima akses internet.
“Sudah tiba masanya prasarana 5G ini diperluaskan bagi meningkatkan produktiviti rakyat tambah lagi semua sedang bangkit untuk pulih ekonomi masing-masing,” katanya.
Pengarah Urusan LV itu berkata, masalah tiada liputan ini kebanyakannya berlaku di kawasan pedalaman tetapi masih ada lokasi pinggir bandar seperti flat di Ampang di mana capaian internet kurang kerana fiber tidak boleh dipasang berikutan struktur awal binaan flat yang tidak sesuai,” katanya.
Merujuk laporan melalui OpenSignal di Korea Selatan di mana mereka berkongsi pengalaman menggunakan 5G menunjukkan kelajuan dengan purata 354.4Mbps amat pantas dan bermanfaat untuk rakyatnya.
Di bawah inisiatif Jendela bagi mengembangkan liputan 4G di seluruh negara, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps.