Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Kenyataan terkini Menteri Kesihatan berhubung kira-kira 7.5 juta penduduk negara bakal kehilangan status lengkap vaksinasi jika belum mengambil suntikan penggalak COVID-19 pada 1 April 2022 dilihat bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri pada 8 Mac lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 19 Mac lalu, sekali lagi mengingatkan kumpulan berkenaan khususnya 835,000 warga emas dan 2.1 juta penerima dos lengkap vaksin Sinovac untuk mengambil suntikan berkenaan melalui janji temu di aplikasi MySejahtera.
Kenyataannya sebelum ini apabila pihaknya (Kementerian Kesihatan) akan menyusahkan dan terus menyukarkan hidup golongan yang enggan divaksin pada 18 Oktober 2021 juga masih lagi tidak dilupakan oleh rakyat sehingga kini.
Bagaimanapun, kenyataan itu bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini bahawa tidak timbul lagi isu status liputan vaksinasi sama ada lengkap dua dos atau penggalak diambil atau tidak, ketika negara beralih ke fasa sementara ke endemik bermula 1 April depan.
Ia termasuk merentas negeri, pemansuhan had kapasiti 50 peratus membabitkan kumpulan ramai, malah had jumlah pekerja tanpa bergantung kepada vaksinasi yang mereka terima sebelum ini.
Meskipun begitu, penjarakan sosial munasabah dan memakai pelitup muka masih diwajibkan.
Yang peliknya, ‘saranan’ konsisten oleh Menteri Kesihatan itu berterusan namun, vaksin keluaran firma China, Sinovac Biotech sebagai contoh, langsung tiada dalam senarai vaksinasi pentauliahan rasmi oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) sekali gus penerima vaksin itu disekat memasuki mana-mana 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Dilaporkan, dua rakyat Malaysia baru-baru ini diusir dari Jerman kerana negara anggota EU itu tidak mengiktiraf vaksin Sinovac.
Jelas berlaku percanggahan antara menteri dan Perdana Menteri merujuk kepada isu vaksinasi COVID-19 ini.
Menteri kata lain, PM kata lain. Apakah PM dilihat lemah lagi dalam membuat keputusan membabitkan kesihatan rakyat? Ini kerana, pengumuman dibuat pada 8 Mac lalu seperti dipandang enteng oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Apakah tiada berlaku apa-apa perbincangan bersama kerajaan sebelum pengumuman terkini dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan?
Pemilik akaun Tiktok atanleccas, dalam videonya yang dimuatnaik dua hari lalu dan mendapat lebih 270,000 ‘view’ menyatakan, kenyataan Khairy Jamaluddin bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri berhubung status vaksinasi pada 1 April 2022.
“2.9 juta rakyat akan kehilangan ‘fully vaccinated’ pada 1 April 2022. Kenyataan ini dikeluarlan oleh saudara KJ (Khairy), nyatalah bahasa kenyataan saudara KJ ini bercanggaj dengan kenyataan PM, Datuk Seri Ismail Sabri yang dikeluarkan beberapa hari lalu.
“Kita jangan lupa, KJ juga pernah menyatakan bahawa dia akan memastikan mereka yang tidak mengambil dos penggalak ini, akan disusahkan di kemudian bari. Kenyataan saudara KJ ini sangat bercanggah dan bersifat sombong dan bongkak,” katanya.
Malah, Setiausaha Penerangan UMNO Bahagian Rasah itu bertegas akan memastikan Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau itu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti ekoran pelaksanaan sebagai menteri kabinet yang disifatkan terus menyusahkan rakyat.
“Saya selaku Ahli UMNO akan memastikan dimana juga saja saudara KJ ini dipertaruhkan dalam PRU15 kelak, dimana kerusi yang dia akan bertanding, kita rakyat Malaysia akan membuat gerakan untuk menolak, menumbangkan saudara KJ dalam PRU15,” katanya.